The Campus Ampang sebelum ini dikenali sebagai kampus International School of Kuala Lumpur (ISKL) dan kini telah diubah suai menjadi pusat komuniti yang meriah, menggabungkan elemen gaya hidup dengan pelbagai pilihan kafe.
Terletak di tengah-tengah kawasan Ampang yang semakin pesat membangun, The Campus Ampang muncul sebagai destinasi gaya hidup baharu yang bukan hanya menempatkan ruang komersial dan pejabat moden, malah turut menjadi hub pilihan ramai untuk melepak, bekerja secara santai, atau sekadar mengisi masa lapang.
Menariknya, di sebalik binaan kontemporari dan suasana urban yang minimalis, tersimpan deretan kafe-kafe menarik yang tampil dengan konsep tersendiri dari interior yang ‘aesthetic’, sajian kulinari yang kreatif hinggalah ke pilihan minuman yang unik dan menambat selera.
Dalam edisi istimewa EH!xperience kali ini, kami menjelajah ke setiap tempat The Campus Ampang untuk menyelongkar kafe-kafe yang wajib anda kunjungi.
Jika anda sedang mencari port lepak baharu yang lebih ‘chic’ dan sesuai dengan gaya hidup moden, bersedialah untuk ‘bookmark’ senarai kafe pilihan #EHxperience di The Campus Ampang. Mana tahu, mungkin anda akan temui kafe kegemaran baharu anda di sini!
1. Taffy Gelato
Taffy Gelato di The Campus Ampang adalah destinasi pencuci mulut yang wajib dikunjungi bagi penggemar gelato. Dibawakan oleh The Serai Group, gelateria ini menawarkan pelbagai perisa gelato yang menggabungkan rasa tempatan dan antarabangsa. Antara pilihan yang popular termasuk Pistachio yang kaya dan Triple Cheese yang unik.
Selain itu, Taffy Gelato menyediakan pelbagai cara penyajian yang menarik. Anda boleh menikmati gelato dalam kon wafel, diapit dalam roti brioche atau disajikan dalam croissant yang lembut . Kombinasi ini memberikan pengalaman menikmati gelato yang berbeza dan memuaskan.
2. Kha Coffee Roasters
Kafe ini dikenali dengan gabungan unik antara kopi berkualiti tinggi dan hidangan Thai autentik, menjadikannya destinasi menarik bagi pencinta kopi dan makanan Thai. Menggunakan biji kopi yang diimport dari Chiang Rai, Thailand untuk menghasilkan minuman kopi yang kaya dengan aroma dan rasa. Antara pilihan popular termasuk Thai Iced Coffee dan Thai Green Tea yang menyegarkan.
Selain itu, kafe ini juga menawarkan menu sarapan pagi seperti Thai Porridge dengan bebola ayam buatan tangan, udang, sotong dan cakoi.
3. Universal Bakehouse
Terkenal dengan roti sourdough yang dihasilkan dengan teliti, memberikan tekstur yang rangup di luar dan lembut di dalam. Antara pilihan popular termasuk Country Sourdough, Seeded Sourdough, dan Sourdough Brioche. Ps, setiap roti dihasilkan secara harian untuk memastikan kesegaran dan kualiti terbaik!
4. Coffeeboy Club
Reka bentuk ruang yang terinspirasi daripada ‘listening bars’ Tokyo era 1980-an, kafe ini menyatukan kopi, makanan, muzik dan seni reka bentuk dalam suasana yang santai dan kreatif.
Sajian kopi istimewa seperti The Cuban dan Housemade Strawberry Milk, yang disajikan dalam suasana yang menenangkan dengan elemen simen dan kayu minimalis serta sistem bunyi hi-fi yang mengasyikkan. Kafe ini juga sering menganjurkan acara seperti yang menampilkan DJ tempatan dan sesi kitchen takeover, menjadikannya tempat yang sesuai untuk pencinta kopi dan muzik.
5. Jibby Chow
Destinasi kulinari yang menawarkan gabungan unik antara hidangan Cina tradisional dan sentuhan citarasa Malaysia. Sebagai sebahagian daripada Serai Group, restoran ini menampilkan suasana kasual namun kontemporari, sesuai untuk pelbagai majlis makan bersama keluarga dan rakan-rakan.
Jibby Chow menyajikan pelbagai hidangan yang menggoda selera, antaranya Kam Heong Clams, Salted Egg Yolk Prawns dan fine Soy Sauce with Prawns and Clams iaitu gabungan udang dan kerang dalam sos soya halus bersama halia muda rangup dari Bentong.