Saya temui satu detik perlahan yang begitu menyentuh jiwa, sebuah ruang kafe yang penuh kehangatan dan aroma yang mendakap rasa. EH!xperience kali ini membawa anda ke Beca Tea, tempat di mana secawan teh bukan sekadar minuman, tetapi sebuah perjalanan rasa dan ritual yang membelai jiwa.
Rekaan luaran yang menangkap mata dengan halusan warna kehangatan, berkonsepkan “heritage‑future” membawa EHxperience ingin merasai Beca Tea berlokasi di Uptown Damansara Utama.
“Moden dan sesuatu lain”, itu ungkapan pertama saya saat melangkah ke dalam kafe ini seolah-olah membuka pintu ke dimensi lain. Bau wangi teh yang sedang diseduh menyapa lembut, bersatu dengan haruman aromaterapi yang begitu menenangkan.
Ruangnya yang tenang dan damai, dihiasi estetika minimalis yang membawa rasa seperti berada di sebuah rumah teh moden, namun masih sarat dengan nilai tradisi. Elemen menarik yang saya dapati disini ialah setiap helaian kain yang menghiasi ruangan ini, rupanya direndam dan diwarnai oleh teh.
Beca atau disebut ‘be-cha’, ternyata punyai banyak suratan kisah disebalik nama kafe ini, Beca Tea, undangan untuk kembali ke dalam diri dan merasai nikmat ketenangan dalam cara yang paling lembut.
Tanpa gula tambahan, tanpa sirap tiruan, tanpa pengawet, Baca Tea hanya teh tulen yang dibancuh dengan cinta dan pengetahuan yang diwarisi turun-temurun. Setiap cawan merupakan paduan intuisi dan eksperimen dari teh pelbagai negara oleh warisan keluarga selama lebih 90 tahun sebagai pengedar teh sejak 1930-an yang kini digemudi oleh PC Koh.
Gandingan konsep ilham oleh isterinya dari persiapan menu, warna ruangan dan pemilihan alatan tembikar (cawan dan pinggan) membuatkan Beca Tea hidup dibaluti rasa kasih sayang.
Pengalaman pilihan pengarang yang anda perlu cuba untuk diri sendiri mahupun bersama tersayang…
DIY Tea Mixology
Dipandu oleh sentuhan kreatif Tracia Chan, mixologist tersohor dan anak kepada pengasas Beca, sesi ini membolehkan tetamu mencipta ramuan mereka sendiri. Tanpa sebarang gula tambahan atau sirap buatan, setiap adunan adalah tentang memahami rasa, aroma dan intuisi sebuah bentuk seni yang bebas.
Terdapat tiga pilihan buat peserta:
- 1. Do-it Yourself (Beginner-friendly)
Jika anda baru dalam dunia teh atau tidak pasti mahu campur apa dengan apa, pilihan ini adalah permulaan sempurna. Anda akan dibekalkan dengan:
- Set asas teh dan infusi yang mudah dipadankan
- Kad panduan rasa yang membantu mencadangkan kombinasi harmoni
- Bantuan mesra daripada kru Beca Tea jika perlu
Sesuai untuk anda yang mahu bermain dengan rasa, tapi perlukan sedikit bimbingan untuk yakin.
- 2. Do-it Yourself (Don’t tell me what to do!)
Tiada kad panduan. Tiada peraturan. Hanya anda, deria rasa dan kreativiti sepenuhnya. Pilihan ini membebaskan anda untuk:
- Eksperimen dengan gabungan paling berani
- Campur dan padan mengikut intuisi sendiri
- Mencipta ramuan yang sepenuhnya mencerminkan vibe dan personaliti anda
Untuk mereka yang tidak takut mengambil risiko rasa. Di sinilah tercipta kombinasi yang luar biasa… atau luar jangka!
- 3. We Brew It For You
Tidak semua orang mahu bermain dengan herba dan bunga. Kadangkala, kita hanya mahu duduk, tarik nafas, dan minum teh yang enak. Pilih ini jika anda mahu:
- Teh yang direka khas oleh pasukan Beca
- Disediakan dengan sempurna dari suhu hingga keseimbangan rasa
- Nikmati dengan tenang sambil melihat orang lain ‘berperang’ dengan ramuan mereka
Sesuai untuk anda yang mahu me-time, atau sedang mencari inspirasi sebelum mencuba sendiri nanti.