Langkah pertama #EH!xperience, memasuki cawangan terbaharu Pizza Duo di The Campus, Ampang, seolah-olah membuka helaian baharu dalam buku pengalaman kulinari.
Restoran ini merupakan lokasi kedua selepas kejayaan sulung mereka di Bamboo Hills, namun dari awal lagi sudah jelas ia tidak sekadar menyalin semula konsep lama. Sebaliknya, Pizza Duo Ampang tampil dengan identiti baharu, ia lebih matang, lebih berani dengan penekanan pada pengalaman ruang dan rasa yang seimbang.
Dari luar, seni bina restoran ini menekankan semangat moden kontemporari dengan garis-garis bersih, mix and match jubin dan kaca besar yang membenarkan cahaya semula jadi membanjiri ruang.
Saat melangkah masuk, suasana berubah menjadi lebih intim dan hangat. Interiornya memancarkan vibes moden kasual, pencahayaan lembut keemasan, serta hiasan dalaman yang menggabungkan elemen industri dengan sentuhan artistik Itali dan personaliti pengasas Pizza Duo, pasangan suami isteri, Aina Ghani dan Mark Lee.
Apa yang membezakan restoran ini dengan yang pertama ialah kehadiran oven kayu tradisional yang menjadi pusat perhatian tetapi ia dihias dengan cerminan berkilau seperti “disco ball”, menjadikan api yang membakar pizza di dalamnya bukan sekadar fungsi, tetapi juga persembahan visual, bauan asap segar yang menusuk dan deria rasa yang lembut.
Hidangan pertama yang hadir di meja ialah Spicy Eggplant Caponata with Burrata. Sajian pembuka ini tidak sekadar cantik dipandang, tetapi penuh dengan lapisan rasa. Terung dimasak gaya mala yang pedas beraroma, digandingkan dengan capsicum dan zucchini yang memberi tekstur ranggup, lalu disudahi dengan sentuhan chili oil crunch yang menaikkan rasa pedas berasap.
Semua ini kemudian dipadu dengan burrata yang lembut dan berkrim, mencipta keseimbangan kepedasan dan kehangatan diselimuti kelembutan susu yang menenangkan. Ia seolah-olah hidangan yang mengusik deria, membuka selera dan menyediakan ruang bagi pengalaman rasa seterusnya.
Seterusnya, Spiced Duck Sausage Rosa Rigatoni. Sosej itik berempah hadir dengan rasa seimbang, sedikit berlemak dengan aroma rempah yang hangat. Sos rosa, gabungan krim dan tomato, memberi kelembutan yang menyatukan kepedasan halus sosej tersebut, menjadikan setiap suapan seimbang antara pedas, masam dan berkrim.
Tekstur rigatoni yang al dente pula memainkan peranan penting dimana rongganya memerangkap keseluruhan sos, membuatkan setiap gigitan terasa penuh dan menyeluruh!
Hidangan utama yang paling mencuri perhatian saya ialah Steak and Orzo. Potongan daging steak dimasak tepat pada masanya, bahagian luar berkaramel dengan kerak yang sedikit garing, sementara bahagian dalam kekal lembut, berjus dan penuh dengan rasa semula jadi daging.
Orzo, pasta berbentuk butiran nasi, bertindak sebagai pengiring yang bukan sekadar pelengkap tetapi penyerap rasa. Dimasak dengan kuah berasaskan stok yang kaya, setiap butir orzo memegang jus daging serta rempah ringan, lalu mencipta tekstur berkrim yang halus tetap ringan.
Namun, tiada kunjungan ke Pizza Duo yang lengkap tanpa mencuba pizza mereka. Pizza Shroomami ialah persembahan rasa bumi yang khususnya dengan penggunaan oven kayu tradisional yang menjadi nadi restoran ini. Keraknya tipis tetapi berjiwa, garing di bahagian tepi, lembut di tengah dan aroma asap kayu yang lahir daripada pembakaran api sebenar. 1000/100 direkomendasi oleh saya dan EH!
Toppingnya menekankan “umami” semula jadi daripada pelbagai jenis cendawan, keju dan herba segar yang dibakar dalam oven kayu itu. Visual disco-ball oven itu bukan sekadar gimik, tetapi benar-benar mencipta karakter rasa yang unik!
Untuk minuman, saya memilih tiga yang berbeza. Matcha Bloom iaitu keseimbangan matcha yang tidak terlalu pahit, diolah dengan kelembutan soda yang halus, memberi buih lembut yang menambah kesegaran tanpa menghilangkan keaslian rasa teh hijau. Sesuatu yang unik buat para pencinta Matcha yang mencari sesuatu di luar kebiasaan.
Ly Ly Lychee pula terasa segar, manis tropika dengan sedikit nota bunga yang halus, sesuai sebagai penyegar di kala suapan berat.
Manakala Soda Cremosa Melon tampil berani dan playful dengan rasa melon berkrim. Tegukan pertama memberi kejutan manis tropika, sementara buih soda menambah dimensi ringan yang menghiburkan.
Baca: EH!xperience: Kehangatan Teh & Ritual Aroma Di Beca Tea