Skandal pengapit? Minta dijauhkan pada hari bahagia!
Perkahwinan adalah momen yang penuh makna dan menjadi kenangan terindah buat pasangan mempelai. Dalam menjayakan hari bahagia ini, kehadiran seorang pengapit sering dianggap sebagai pelengkap yang membantu menyerlahkan suasana dan memudahkan urusan pengantin sepanjang majlis.
Namun begitu, di sebalik kelebihan mempunyai pengapit, terdapat juga cabaran yang perlu diberi perhatian, terutama apabila pengapit yang dipilih menimbulkan rasa kurang selesa kepada pasangan atau lebih buruk, mengambil kesempatan dalam situasi tertentu.
Oleh itu, pemilihan pengapit bukan hanya berdasarkan rupa atau hubungan rapat semata-mata, tetapi harus diteliti dengan bijak agar tidak menimbulkan konflik dalam rumah tangga kemudian hari.
Risiko jika tersalah pilih, EH! kongsikan tip penting untuk memilih pengapit yang sesuai dan disenangi oleh pasangan.
1. Pilih yang pasangan anda selesa
Pastikan bakal suami atau isteri tidak berasa tergugat atau rimas dengan pilihan pengapit anda. Elakkan memilih seseorang yang pernah ada ‘sejarah’ dengan pasangan.
2. Utamakan yang matang dan tahu jaga batas
Pengapit bukan sekadar tampil cantik atau segak, tapi perlu tahu had pergaulan, terutama bila berurusan dengan pasangan anda.
3. Elakkan yang suka menonjol atau ‘over’
Hari bahagia adalah hari istimewa untuk anda dan pasangan menonjol, menjadi perhatian orang ramai. Jangan pilih pengapit yang suka ‘ambil spotlight’ lebih-lebih pula di hadapan tetamu.
4. Kenali latar belakang peribadi pengapit
Pilih seseorang yang berperibadi baik dan tidak suka drama. Anda tak mahu ada pengapit yang jadi punca pergaduhan selepas kahwin.
5. Pilih yang benar-benar ikhlas nak bantu
Pengapit yang baik akan bantu uruskan persiapan dan tenangkan anda, bukan menyusahkan atau sibuk ambil gambar sendiri saja.
6. Pastikan hubungan pengapit dan pasangan anda sekadar kenalan biasa
Elakkan dari ambil kawan rapat pasangan sebagai pengapit (terutama berlainan jantina), kalau ia boleh menimbulkan rasa cemburu.
7. Uji kesetiaan dan kepercayaan sebelum majlis
Lihat cara dia berkomunikasi dengan pasangan anda. Jika terlalu mesra atau “friendly” tanpa batas, itu red flag!
8. Jangan pilih hanya kerana rupa
Rupa bukan segalanya. Pengapit yang baik adalah yang boleh bantu uruskan emosi dan urusan hari majlis, bukan hanya hadir untuk bergambar.
9. Bincang bersama pasangan sebelum buat keputusan
Hormati pandangan pasangan dalam hal ini. Elakkan kejutan yang boleh mencetuskan salah faham.
10. Percaya pada intuisi sendiri
Jika hati anda rasa tak sedap atau ada keraguan walaupun kecil, lebih baik cari pengapit lain. Majlis kahwin hanya sekali, jangan ambil risiko.