Teks: Anis Hanini
Ada pelbagai kelebihan menyusu buat bayi namun tahukah anda bahawa menyusu juga bagus buat seorang ibu. Bukan sahaja ia dikatakan dapat membantu seorang ibu kembali kepada tubuh asal selepas melahirkan anak, ia juga dapat melindungi ibu daripada sesetengah penyakit sebagai contoh ibu yang menyusukan anak lebih kurang risiko mendapat kanser berbanding ibu yang tidak menyusukan anak.
Menurut American Academy of Pediatrics, mereka mencadangkan bahawa menyusu sekurangkurangnya enam bulan secara ekslusif dan menyusu secara berterusan hingga setahun atau lebih lama, bergantung kepada ibu dan anak. Antara kelebihan menyusu bayi termasuk:
Gambar: familyllb.com
BAKAR KALORI
Menurut beberapa pakar, menyusukan bayi memerlukan tenaga yang berlebihan kadang kala seorang ibu dapat membakar300 hingga 500 kalori setiap hari. Ibu yang menyusukananak juga dikatakan dapat mengurangkan berat badan dengan lebih sihat iaitu lebih perlahan dan tanpa perlu diet.
MENGURANGKAN TEKANAN
National Institutes of Health melakukan kajian terhadap 9,000 abstrak dan mendapati wanita yang tidak menyusu atau berhenti menyusu anak awal, lebih cenderung untuk menghadapi kemurungan selepas bersalin. Wanita yang menyusukan anak lebih tenang kerana menyusu membebaskan rembesan hormon oxytocin malah rembesan ini turut membantu mengecutkan rahim dengan lebih cepat selepas melahirkan anak.
Gambar: health.harvard.edu
MENGURANGKAN RISIKO PENYAKIT JANTUNG
Ada kajian yang mendapati bahawa wanita yang menyusu bayi lebih lama, dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, malah wanita yang menyusu lebih 12 bulan juga akan kurang mendapat tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes mahupun penyakit jantung berbanding wanita yang tidak pernah menyusukan bayi.
MENGERATKAN HUBUNGAN DENGAN BAYI
Menyusu menggalakkan ikatan emosi antara ibu dan anak, mereka menjadi lebih rapat dan dapat meluangkan masa bersama tanpa gangguan. Malah menyusu bayi juga lebih menjimatkan wang berbanding membeli susu formula.