Teks : Anis Hanini
Peneman harian yang comel dan aktif memerlukan pengorbanan dan perhatian penuh namun apa yang terjadi pada mereka setelah ‘hilang’ kecomelan tersebut?
Buat sesetengah orang menganggap haiwan peliharaan sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka sendiri dan tidak dinafikan memelihara haiwan kesayangan adalah satu tanggungjawab besar ibaratkan membela anak. Jika lihat di sekeliling, ada beberapa haiwan seperti kucing mahupun anjing dibiarkan berkeliaran di merata tempat, meminta simpati dan makanan daripada orang ramai namun tidak dipandang kerana dianggap sebagai jijik, kotor mahupun berpenyakit.
Ada juga yang menghalau haiwan-haiwan ini secara kasar tanpa sebarang belas kasihan hingga menyebabkan mereka jatuh sakit, cedera ataupun mati. Namun, pabila individu ini berjumpa dengan haiwan yang comel, sihat dan bersih, mereka akan melayan haiwan tersebut dengan lebih baik. Gelagat ini juga antara tabiat buruk rakyat Malaysia yang pastinya enggan diakui ramai.
Dengan kehadiran internet dan media sosial, mendapatkan sumber maklumat tentang haiwan peliharaan menjadi lebih mudah dan pantas. Apatah lagi haiwan-haiwan peliharaan yang comel ini dinaikkan status sebagai selebriti di laman media. Grump Cat sebagai contoh mempunyai pengikut sebanyak 2.3 juta di Instagram dan dia popular kerana mimik wajahnya yang sentiasa masam dan tidak gembira. Darcy the Flying Hedgehog juga berjaya mencuri perhatian dan memiliki pengikut di Instagram sebanyak 332 ribu, manakala Marnie the Dog pula mempunyai pengikut sebanyak 2.1 juta dan sering muncul di kaca televisyen.
Haiwan peliharaan selebriti ini sering memuatnaik imej-imej yang comel dan mencairkan hati menyebabkan orang ramai mula mengambil keputusan untuk membela haiwan peliharaan sendiri dengan harapan untuk mengikut arus trend atau ingin menjadikan haiwan peliharaan mereka sebagai selebriti. Menurut Loni Edwards, pengasas kepada The Dog Agency iaitu agensi pengurusan bakat untuk haiwan peliharaan terkenal di sosial media, haiwan peliharaan yang comel ini menjadi pilihan utama jenama-jenama besar kerana mereka mampu menarik perhatian semua orang daripada pelbagai usia malah mereka juga mampu mengaut keuntungan sebanyak $15,000 untuk satu imej yang dimuat naik.
Mengapa pula ramai yang ingin membela haiwan peliharaan kerana trend? Sebab utama pastinya kerana keuntungan dan populariti yang hadir selepas haiwan peliharaan anda menjadi viral. Namun ramai yang lupa bahawa membela haiwan peliharaan memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang yang banyak. Ada sesetengah pemilik haiwan sanggup membeli haiwan peliharaan yang mahal kerana mereka inginkan haiwan yang unik dan berbeza namun menghadapi kesukaran untuk menjaga haiwan tersebut pabila mereka mula meningkat usia. Pabila mereka sampai diusia yang matang, mereka diabaikan hingga ada yang sanggup membuang haiwan-haiwan ini kerana tidak mampu lagi menjaga mereka.
SOAL DIRI SENDIRI SEBELUM MEMBELA HAIWAN PELIHARAAN
Membela haiwan peliharaan sendiri punyai banyak manfaatnya seperti membuatkan anda rasa gembira dan kurang tertekan, malah haiwan juga peneman yang setia. Namun begitu, sebelum anda membuat keputusan untuk membela haiwan peliharaan, ada beberapa perkara yang anda perlu tanya diri sendiri bagi memastikan keputusan yang bakal dilakukan adalah tepat.