Teks: Khairul Abidin Ishak
Orang yang tidak pernah memandu kereta pacuan empat roda pun akan berasa selesa dan yakin memandu Hyundai Tuscon. Apatah lagi yang duduk di kerusi penumpang.
Apabila diberitahu saya akan dipinjamkan kereta pacuan empat roda, saya terus berfikir “boleh ke aku drive kereta besar-besar ni”. Sejujurnya saya agak risau mahu memandu kereta bersaiz besar apatah lagi pacuan empat roda. Sepanjang hidup belum pernah saya memandu kereta sebesar itu. Sebagai pemilik kereta kompak, saya sudah terbiasa memandu kereta kecil. Hendak meletakkan kereta pun sekelip mata saya boleh. Sebab sudah terlalu selesa dan biasa dengan kereta kompak, semestinya saya skeptikal dengan skil saya memandu kereta besar dan tinggi. Namun untuk kembara hujung minggu ke Pulau Pinang bulan lalu, saya beranikan diri memandu Tuscon Diesel daripada Hyundai.
Sebagai warga Kuala Lumpur, kadang-kadang sudah buntu bagaimana mahu menghabiskan masa pada hujung minggu. Hampir seluruh pelusuk ibu kota sudah dikunjungi. Tambah-tambah bekerja di majalah, memang sudah rutin untuk saya keluar hampir setiap hari menghadiri pelbagai majlis. Jadi jika hari bekerja pun saya sudah berkunjung pelbagai tempat, jadi pastinya saya tambah bosan bila hujung minggu tiba, jadi kembara ke luar kota jadi pilihan. Pulau Pinang antara alternatif hujung minggu pilihan warga kota hari ini memandangkan di sana banyak lokasi menarik untuk dikinjungi, terutama sekali pilihan makanan yang pelbagai yang menjadi tarikan.
Jadi apa pengalaman saya memandu Tuscon ke sana? Seronok, selesa dan stabil! Tambahan untuk perjalanan jarak jauh saya kira pengalaman memandunya cukup menyelesakan dan menyakinkan. Cuma bagi yang tidak biasa memandu kereta yang menggunakan diesel, bunyinya agak sedikit kuat berbanding kereta biasa. Itu normal.
Untuk pemanduan jauh, tempat duduk pemandu sanagat penting. Harus selesa. Tuscon punya Driver’s Power Seat yang boleh diselaraskan lapan cara bergantung kepada keselesaan. Malah tempat duduk penumpang belakang juga boleh diselerasa untuk lebih selesa.
Selain hal selesa, keselamatan adalah perkara pokok dalam pemanduan. Saya fikir teknologi yang ada pada Tuscon yang berjaya mengetepikan rasa risau saya memandu kereta besar. Dalam setengah jam memandu saya sudah berasa stabil. Antara ciri keselamatan yang ada pada Tuscon ialah Vehicle Stability Management (VSM). Sewaktu kami menuju ke Pulau Pinang, hujan lebat mengiringi perjalanan kami dari Kuala Lumpur hingga ke Tapah, tapi semuanya terkawal dan saya memandu seperti biasa walaupun selalunya saya akan ‘extra careful’ bila memandu pada waktu hujan apatah lagi malam.
Tuscon juga dilengkapi dengan kawalan brek ketika pemanduan menuruni bukit (Diwn-hill Brake Control (DBC). Dan untuk menaiki bukit pula ia dikawal oleh Hill-start Assist Control (HAC) yang bertindak memastikan kereta tidak mengundur ke belakang. Cuma satu, untuk saya yang biasa memandu kereta kompak, kadang-kadang saya tidak perasan saya memandu melebihi had kelajuan, mungkin kerana kestabilan kereta buatan Korea Selatan ini membuatkan saya tidak sedar. Jadi seeloknya pastikan mata sentiasa memerhati meter had kelajuan, boleh jadi terlebih bila terlalu selesa.
Untuk perjalanan jauh, kesegaran bukan hanya pada bekalan makanan juga minuman, halwa telinga juga perlu ditemani muzik-muzik menyegarkan. Jadi sistem audio penting bagi saya yang cukup sukakan muzik. Sistem bunyi Tuscon menyenangkan dan pemasangan muzik boleh terus dari aplikasi muzik di telefon seperti iTunes dan Spotify. Audio Visual Navigation (AVN) yang ada pada Tuscon bernadikan sistem operasi Android turut menyediakan kemas kini keadaan trafik.
Jadi apa yang boleh saya simpulkan tentang pengalaman saya memandu Tuacon ke Pulau Pinang bersama dua lagi teman saya, fantastik! Dan kerana keretanya besar dan selesa, dan memandunya selama empat hari, saya berasa sedikit kekok bila kembali memandu kereta saya… haha!
Harga Hyundai Tuscon Diesel bermula dari RM147,088.00.