Gaji lambat lagi tapi nak makan sedap-sedap. Siapa kata nak makan sedap kena tunggu gaji masuk dulu? Mana ada, makan best tak payah tunggu berbelanja besar. Ini resipi dan idea makanan simple tapi mengenyangkan sementara menunggu gaji masuk untuk para bujang dan perantau.
Bahan-bahan Runcit Murah
Ini senarai bahan mesra poket yang para bujang boleh beli untuk disimpan di rumah untuk dijadikan sebagai stok bila gaji belum masuk atau malas.
- Tempe
- Telur
- Bebola Ikan
- Cendawan
- Mi Segera
- Anak Jagung
- Filamen Ketam
Idea dan Resipi Mudah
1. Tempe dan Telur Goreng
Masak telur secara scrambled dan angkat.
Gaulkan tempe bersama garam dan kunyit dan gorengkan. Jika anda gaul tempe bersama garam sahaja sudah mencukupi.
Selepas telur dan tempe siap dimasak, di dalam kuali yang sama, tumis bawah putih cincang bersama kacang panjang yang telah dipotong. Anda boleh menambah bawang merah dan cili yang dicincang untuk menambah rasa. Kemudian, masukkan tempe dan telur yang telah dimasak, perasakan dengan perencah mengikut cita rasa anda dan masak sehingga sebati. Voila!
Resipi ini senang tapi mengenyangkan untuk dijadikan lauk hujung bulan. Ada telur dan tempe sebagai protein dan kacang panjang sebagai serat.
2. Mi Segera Goreng Ala Mamak
Jika anda pesan mi segera goreng di mamak, ianya mungkin berharga rm9 atau rm10 untuk satu porsi. Namun anda boleh cuba resipi simple ini untuk memuaskan keinginan anda. Ini ‘hack’ untuk goreng mi segera dengan cara yang mudah.
Rendam mi segera pilihan anda dalam air suam selama 10 minit.
Gorengkan telur secara hancur dan tambahkan bawang merah dan bawang putih cincang. Anda boleh menambahkan cili kisar atau cili padi cincang mengikut cita rasa anda. Tambahkan lobak merah yang dipotong panjang dan masukkan perencah mi segera. Anda boleh tambahkan sedikit ayam cincang atau dada ayam yang dipotong dadu.
Hanya gunakan separuh dari perencah tersebut supaya hidangan tersebut tidak terlalu masin.
Tambahkan air sedikit supaya tidak terlalu kering dan masukkan mi yang telah direndam. Tidak perlu menambahkan apa-apa perencah tambahan kerana perencah dari paket mi segera sudah mencukupi.
3. Cendawan Tumis
Siapa peminat cendawan? Ini resipi mudah untuk anda.
Tumiskan sedikit bawang putih dan bawnag merah yang telah dicincang dan ayam cincang atau dada ayam. Kalau anda peminat tauhu, anda boleh menambah tauhu yang lembut seperti tauhu telur atau tauhu jepun dalam masakan ini. Bagi pecinta makanan pedas, anda boleh menambah potongan cili padi untuk rasa yang lagi ‘kick’. Tambahkan satu sudu makan sos tiram. Sos tiram adalah bahan pilihan.
Gaulkan dan tambah sedikit air untuk dijadikan kuah, sedikit garam dan serbuk perasa. Masukkan cendawan pilihan anda dan masak sehingga cendawan layu. Hidangan ini sesuai untuk dimakan bersama nasi putih.
4. Nasi Goreng Ala Solaria
Jika anda pernah ke negara jiran, tak sah kalau tak pernah rasa masakan dari restoran terkenal itu. Nasi goreng yang beraroma membuatkan saya teringat-ingat walaupun dah lama tidak ke Indonesia. Ini resipi nasi goreng seakan-akan nasi goreng solaria tetapi versi mudah dan cepat.
Gorengkan telur sehingga hancur dan masukkan bawang putih bersama potongan daun bawang untuk ditumis, masukkan bebola ikan yang dipotong dua. Tumis sehingga kesemua bahan masak dan beraroma. Masukkan sedikit sos tiram dan kicap pekat. Kacau dan masukkan sedikit lada putih. Kemudian, masukkan nasi sejuk. Tak perlu tambahkan garam kerana sos tiram, lada putih dan kicap sudah berperisa.
Gorengkan nasi tersebut sehingga nasi melompat-lompat dan berbunyi “tik tik tik”. Cara ini membuatkan nasi goreng berasa lebih lazat dengan rasa dan bau yang sedikit charred seperti nasi goreng di kedai.
Nasi goreng ini enak dimakan bersama keropok keping ikan Terengganu ataupun bersama telur mata lembu yang cair di tengah.
5. Sayur Goreng
Resipi sayur 1: Tumis bawang putih bersama bawang merah sehingga naik bau, masukkan dada ayam atau ayam cincang, sedikit sos tiram, dan potongan cili dan kacau sehingga separuh masak. Tambah sedikit air dan masukkan anak jagung bersertakan sayur-sayuran lain pilihan anda. Tambahkan cendawan supaya lebih meriah. Tambahkan bahan perasa dan gaul sehingga semua sayur sudah masak.
Sayur-sayuran yang sesuai : Tomato, lobak merah, dan kubis
Resipi sayur 2: Rendamkan peria yang telah dibuang isinya serta dipotong ke dalam air dan garam yang banyak selama 30 minit. Selepas 30 minit, toskan dan basuh peria tersebut. Kisarkan bawang putih dan cili padi dengan sedikit air.
Gorengkan telur secara hancur dan masukkan cili dan bawang yang telah dikisar. Tumis sehingga cili masak dan masukkan peria serta perasa pilihan anda. Sedikit garam, perasa, ataupun gula untuk rasa yang balanced. Masak dengan api sederhana sehingga peria dah masak.
Jika anda tak suka peria, resipi ini mungkin mengubah fikiran anda. Teknik merendam peria dalam air garam mengurangkan rasa pahit peria. Ini resipi kegemaran saya kerana ianya mudah dan senang untuk diubah suai.
6. Nasi Goreng Filamen Ketam
Menu yang saya sering recreate sebab senang.
Goreng telur hancur sehingga minyak mula berbuih, masukkan bawang putih cincang bersama filamen ketam yang sudah dipotong 1-2cm, dan teruskan menumis sehingga bau dah naik dan filamen ketam pun menjadi garing, kemudian masukkan nasi semalam bersama garam dan serbuk perasa. Gaul selama 3-5 minit dengan api sederhana, dan siap dihidang.
Resipi ini bukan sahaja sesuai untuk para bujang, malah, untuk para ibu untuk disajikan kepada anak-anak.
Tip
- Anda boleh ubah suai resipi mengikut cita rasa dan bajet anda.
- Apabila anda menggoreng telur sehingga hancur untuk nasi goreng, mi segera goreng mahupun sayur goreng, masak sehingga keluar buih minyak dari telur tersebut baru masukkan bawang cincang. Ia menjadikan masakan lagi sedap.
- Jika anda menggunakan kedua-dua jenis bawang, masukkan bawang merah atau bawang besar dahulu sebelum bawang putih kerana bawang putih masak dengan cepat dan mudah hangus. Tip ini bagi mengelakkan bawang putih anda hangus.
Artikel Berkaitan : Resipi Overnight Oats Paling Mudah, Sihat & Kenyang Lebih Lama
