Bukan lagi sekadar pelamin dan dekorasi, pelbagai elemen kreatif kini menjadi trend dalam majlis perkahwinan moden.
Sedikit demi sedikit, wedding di Malaysia mula bergerak jauh daripada format yang biasa kita lihat. Kini, pasangan pengantin semakin berani bereksperimen dengan idea yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi turut memberikan pengalaman yang lebih menyeronokkan untuk perkahwinan.
Ini merupakan idea unik yang anda boleh cuba untuk menjadikan perkahwinan anda lebih menarik dan lain daripada yang lain:
Buku Foto QR
Lupakan kamera pakai buang. Ramai pasangan kini memilih buku foto QR yang membolehkan tetamu memuat naik gambar dan video terus ke dalam album digital hanya dengan mengimbas kod QR yang disediakan sepanjang majlis.
Selain memudahkan proses pengumpulan gambar, trend ini juga memberi peluang kepada pasangan pengantin melihat momen-momen spontan yang mungkin terlepas daripada jurugambar rasmi. Hasilnya, lebih banyak kenangan berjaya dikumpulkan dalam satu tempat.
Pelukis Wedding Secara Langsung
Jika sebelum ini photobooth menjadi tarikan utama, kini live wedding painting dipilih sebagai elemen istimewa di majlis mereka. Artis tersebut akan melukis momen penting seperti akad nikah, persandingan atau momen spontan secara langsung sepanjang acara berlangsung.
Bukan sahaja memberi pengalaman yang unik kepada tetamu, hasil lukisan tersebut juga menjadi one-of-a-kind keepsake yang boleh disimpan sebagai kenangan. Berbanding sekadar gambar, karya seni ini berjaya menangkap suasana dan emosi hari bahagia dengan cara yang lebih personal.
Mesin Sticker Custom
Menjadi salah satu trend yang unik dan sangat menarik, lagi-lagi untuk GenZ, kini wedding menyediakan mesin untuk anda custom sticker sendiri. Sama ada untuk dibawa pulang atau tampal di guestbook, menjadikan ianya lebih berguna dan seronok.
Audio Guestbook
Menggantikan pen dan kertas, tetamu boleh meninggalkan pesanan suara, ucapan tahniah atau past funny moments menggunakan telefon retro yang disediakan.
Lebih personal daripada sekadar tandatangan, trend ini membolehkan pasangan pengantin menyimpan suara dan gelak tawa orang tersayang untuk didengari semula pada masa akan datang.
Stesen Sayur
Siapa sangka sayur-sayuran kini menjadi antara doorgift yang paling ditunggu-tunggu di sesetengah wedding? Dikenali sebagai Sayur Station, tetamu boleh memilih sendiri pelbagai jenis sayur segar untuk dibawa pulang selepas majlis.
Selain lebih praktikal, trend ini juga sering menjadi tumpuan terutama dalam kalangan mak-mak yang teruja memilih sayur kegemaran mereka. Bonus point, ia juga memberi sentuhan yang unik dan aesthetic kepada ruang majlis.
Stesen Henna

Henna station atau mehndi station semakin popular di wedding dan pre-wedding event sebagai aktiviti interaktif di mana tetamu boleh mendapatkan lukisan henna daripada artis sepanjang majlis.
Untuk mempercepatkan proses, design yang ringkas disediakan. Stesen ini disediakan hanya sekadar untuk menambahkan lagi kemeriahan majlis perkahwinan tersebut.




