Cincin pintar gabungan AI (Artificial intelligence) ini mengubah kesihatan dan gaya hidup saya, ini reviu pengalaman selepas seminggu memakai Samsung Galaxy Ring.
Saya akui saya bukanlah peminat gajet bersaiz kecil, apatah lagi yang perlu dipakai setiap masa. Tetapi selepas seminggu memakai Samsung Galaxy Ring, saya mulai sedar, ini bukan sekadar aksesori teknologi. Ia adalah sistem pembantu kesihatan peribadi yang bijak dengan teknologi AI terkini, bergaya dan hampir tidak terasa di jari.
Reviu Samsung Galaxy Ring:
Kali pertama saya membuka kotak Galaxy Ring, saya hampir terlupa ini adalah sebuah peranti pintar. Rekaan minimalis dengan kemasan titanium matte terasa eksklusif, tidak langsung seperti alat teknologi. Beratnya hanya sekitar 2.3 gram, tetapi binaannya kukuh dan tahan lasak.
Saya pilih saiz yang sesuai menggunakan kit saiz yang disediakan Samsung iaitu saiz 10 dan setelah dipakai, jujurnya saya lupa saya sedang memakainya.
Ciri-ciri menarik: Kecil tetapi sangat “Aware”
- Penjejakan tidur yang sangat terperinci
Ini ciri yang paling mengejutkan saya. Galaxy Ring merekodkan corak tidur saya, termasuk deep sleep, REM dan masa terjaga malah memberi saya “Sleep Score” setiap pagi.
Data ini diselaraskan dengan aplikasi Samsung Health dan sangat membantu untuk saya faham kenapa saya kadang bangun letih walaupun tidur cukup lama.
- Heart rate & stress monitoring
Cincin ini juga menjejak degupan jantung saya secara berterusan. Saya perasan bila saya stres atau tergesa-gesa, notifikasi akan muncul di telefon menyuruh saya tarik nafas dan tenangkan diri. Ps! Ia sangat membantu ketika kerja menimbun!
- Cycle tracking & aktiviti harian
Sebagai wanita, saya suka fungsi Cycle Tracking yang tepat. Ia mengira langkah, kalori dan tahap aktiviti seharian tanpa perlu saya pakai jam tangan pintar.
- Bateri yang Tahan Lama
Saya cas sekali, dan ia bertahan 5-6 hari dengan penggunaan aktif. Ini satu kelebihan besar berbanding smartwatch yang saya pernah pakai sebelum ini.
Selepas seminggu, saya rasa Samsung Galaxy Ring bukan hanya alat untuk peminat teknologi, ia adalah untuk sesiapa yang ambil berat tentang kesihatan, tetapi tak suka gajet besar atau kompleks. Ia membantu saya lebih peka terhadap tubuh saya, dan secara tak langsung, mengubah gaya hidup saya ke arah lebih sihat.
Jika anda mencari cara elegan untuk kekal sihat dan sedar tentang tubuh anda, Galaxy Ring adalah pelaburan yang saya boleh syorkan.