Sejak Isnin lalu, rakyat Malaysia sudah mula panik apabila tular di media sosial mengenai kerajaan kononnya akan mengumumkan Perintah Berkurung atau Lockdown.
Namun begitu, pada Selasa, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan akan tetapi masih ramai netizen yang menyalah ertikan perintah berikut dengan Perintah Berkurung.
Ramai yang masih memborong barangan keperluan (panic buying) dan ada di antaranya yang membeli seolah akan berkurung selama setahun di dalam rumah.
Anda tidak perlu lakukan semua itu. Jangan panik, ini perbezaan antara Perintah Berkurung dan Perintah Kawalan Pergerakan yang anda perlu tahu.
Perintah Berkurung:
Dikenali sebagai Lockdown. Perintah ini bermaksud larangan keluar masuk ke sesuatu bangunan atau kawasan secara bebas atas sebab kecemasan. Jika perintah ini dijalankan makan semua orang tidak dibenarkan untuk keluar rumah mahupun keluar membeli makanan. Dalam erti kata lain, negara berada dalam keadaan darurat dan jika ingin keluar rumah perlu mengikut masa ditetapkan atau kalau dalam keadaan yang lebih kritikal, anda mungkin perlu ditemani pasukan keselamatan.
Perintah Kawalan Pergerakan:
Berbeza dengan perintah berkurung. Jika perintah berkurung, anda dilarang keluar masuk bangunan dan tidak dibenarkan keluar rumah, perintah kawalan pergerakan pula adalah pergerakan yang dibataskan seperti aktiviti keluar masuk negara, perhimpunan besar dan sebagainya. Dalam maksud yang lain, ia sebagai langkah untuk menjarakkan hubungan sosial dengan tujuan untuk menurunkan jumlah kes untuk merendahkan risiko jangkitan wabak. Ketika perintah ini dijalankan, anda masih boleh keluar rumah tetapi dihadkan pergerakan untuk urusan yang penting sahaja seperti keluar membeli barangan keperluan atau pergi ke bank.