Sama ada anda seorang pelabur baru atau yang berpengalaman, membeli emas memerlukan pengetahuan yang mendalam untuk mengelakkan sebarang penipuan.
Emas telah lama diiktiraf sebagai pelaburan yang selamat dan berharga, terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Namun, membeli emas bukan sekadar soal memilih emas berkilau, tetapi juga melibatkan pengetahuan tentang strategi dan waktu yang tepat untuk melabur.
Sama ada anda berminat untuk membeli emas sebagai bentuk pelaburan atau untuk koleksi peribadi, memahami tip-tip yang penting dalam membeli emas akan membantu anda membuat keputusan yang bijak.
EH! kongsikan beberapa panduan praktikal untuk memastikan anda mendapat nilai terbaik dari pelaburan emas anda.
1. Kenali jenis emas
Emas datang dalam pelbagai bentuk dan jenis, termasuk emas jongkong, syiling dan barang kemas. Setiap jenis emas mempunyai kadar premium yang berbeza.
Pastikan anda memahami perbezaan antara emas 999 (emas tulen) dan emas 750 atau 585 (emas campuran) sebelum membeli. Jika tujuan anda adalah untuk pelaburan jangka panjang, pilihlah emas jongkong atau barang kemas 999 atau 916 kerana ia lebih mudah dijual semula pada harga pasaran.
2. Periksa harga emas terkini
Harga emas berubah setiap hari, bergantung pada pasaran global. Pastikan anda sentiasa memeriksa harga emas terkini melalui sumber yang sah dan boleh dipercayai seperti laman web rasmi atau kedai emas yang diiktiraf. Ini akan membantu anda mengelakkan membeli emas pada harga yang lebih tinggi daripada nilai pasaran sebenar.
3. Beli dari sumber yang sah dan BERLESEN!
Dalam dunia perniagaan emas, banyak penjual tidak berlesen yang menawarkan harga yang lebih murah, contohnya di TikTok, kedai emas biasa di tepi pusat beli belah.
Walaupun tawaran seperti ini mungkin menggoda, ia boleh membawa risiko besar! Pastikan anda membeli emas hanya dari kedai atau syarikat yang mempunyai lesen yang sah dan reputasi yang baik. Sumber yang sah akan memberikan sijil ketulenan yang menjamin kualiti dan berat emas yang dibeli.
4. Perhatikan kadar premium dan kos tambahan
Apabila membeli emas, selain daripada harga emas itu sendiri, anda juga perlu mengambil kira kadar premium dan kos tambahan lain seperti kos pembuatan (caj upah) atau kos penghantaran jika anda membeli emas dalam bentuk barang kemas atau syiling. Pastikan anda mengetahui semua kos ini sebelum membuat keputusan pembelian.
5. Harga emas berbeza di berlainan syarikat
Harga emas yang anda lihat di kedai-kedai emas tidak semestinya sama antara satu sama lain. Setiap syarikat dan kedai emas mempunyai harga yang berbeza bergantung kepada beberapa faktor, terutamanya harga rujukan yang mereka gunakan.
Kebanyakan kedai emas di Malaysia mengikut harga yang ditetapkan oleh Federation of Goldsmiths and Jewellers Associations of Malaysia (FGJAM), yang memberi panduan tentang harga emas berdasarkan nilai pasaran semasa.
Contohnya, harga emas di kedai-kedai seperti Poh Kong, Wah Chan, Tomei, dan lain-lain boleh berbeza kerana mereka menggunakan harga yang ditetapkan oleh FGJAM sebagai asas penetapan harga. Jika anda berjaya membeli emas dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang ditetapkan oleh FGJAM, ini merupakan satu peluang yang baik untuk pelaburan kerana anda membeli pada harga yang lebih rendah daripada pasaran. Ini berpotensi memberikan pulangan pelaburan yang lebih tinggi apabila harga emas meningkat pada masa depan. Sebaliknya, jika harga emas yang ditawarkan lebih tinggi daripada harga rujukan FGJAM, ia mungkin menunjukkan kos tambahan yang dikenakan oleh kedai, yang boleh mengurangkan margin keuntungan anda apabila anda menjualnya semula.
6. Pilih barang kemas 916 atau 999
Apabila membeli emas untuk pelaburan, salah satu aspek yang perlu dipertimbangkan adalah jenis kemurnian emas yang anda pilih, sama ada emas 916 (22 karat) atau emas 999 (24 karat). Pemilihan jenis emas ini boleh mempengaruhi nilai emas anda di masa depan, terutamanya jika anda merancang untuk gadai emas atau jual semula.
Emas 916 mengandungi 91.6% emas tulen dan 8.4% logam lain seperti tembaga atau perak. Emas jenis ini lebih keras dan tahan lama. Manakala, Emas 999 adalah emas tulen dengan kandungan 99.9% emas, menjadikannya lebih lembut dan lebih mudah tergores berbanding emas 916.
Tip: Jika tujuan anda membeli emas adalah untuk pelaburan, pilih emas 999 (24 karat) kerana ia mempunyai nilai jual semula yang lebih tinggi. Namun, jika anda membeli untuk barang kemas yang akan dipakai, emas 916 mungkin pilihan yang lebih praktikal dan tahan lama.
7. Pilih barang kemas yang ‘Padu’
Apabila membeli barang kemas, salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan adalah ketebalan dan kualiti barang kemas tersebut. Pilihlah barang kemas padu (solid) dan elakkan barang kemas yang hollow (kosong di dalamnya), kerana ia memberi kesan yang besar terhadap ketahanan dan ketahanannya untuk digunakan dalam jangka masa panjang.
Baca: Harga Emas Naik? Ini Senarai Butik Emas Bebas Caj Upah