Keluarga diraja Britain berkongsi gambar kad Krismas yang semestinya didambakan ramai.
Gambar keluarga Duke dan Duchess of Cambridge memaparkan pasangan Diraja itu bersama krew mereka yang berpakai cukup kasual dengan seluar jeans sambil duduk di atas dahan pokok. Ia dirakamkan di kawasan country home mereka di Anmer Hall di Norfolk, England.
Kate Middleton dilihat mengukir senyuman sambil memegang Putera Louis yang mana baru menyertai keluarga itu pada bulan April lalu. Puteri pasangan kerabat Diraja itu yang kini berusia tiga tahun, Puteri Charlotte dirakam sedang berdiri di antara ibu bapanya, sementara Putera George , berusia lima tahun yang mengenakan kasut but dilihat memegang bahu bapanya dalam keadaan yang cukup ceria dengan pose berdiri sebelah kaki. Kelima-lima ahli keluarga Diraja itu dilihat cukup ceria dan bahagia bersama.
Manakala bagi Duke dan Duchess of Sussex pula memilih sekeping gambar yang cukup versatil dan unik untuk kad Krismas mereka. Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle, berkongsi kepada umum sekeping gambar mereka yang dirakam ketika malam perkahwinan mereka dalam rona hitam dan putih.
Foto tersebut memaparkan yang pasangan itu sedang berdiri membelakangi kamera sambil tangan mereka memegang erat pinggang antara satu sama lain ketika menonton pertunjukan bunga api di sebuah tasik di Frogmore House ketika resepsi perkahwinan mereka pada 19 Mei lalu. Gambar kad Krismas tersebut telah dikongsikan oleh Kensington Palace menerusi akaun media sosial.
Clarence House, kediaman rasmi bapa William dan Harry iaitu Putera Charles tidak ketinggalan untuk berkongsi sekeping gambar Prince of Wales dan isterinya, Camilla.
Ia menunjukkan yang mana pasangan itu sedang duduk di atas sebuah bangku di taman Clarence House pada musim panas yang lalu. Foto Krismas itu sekaligus mencerminkan tahun yang penuh momen indah akan keluarga Diraja itu.