Putera William dan isterinya, Kate Middleton kini sedang menantikan kelahiran anak ketiga mereka. Berita itu dikeluarkan oleh pihak Istana Kensington.
“Yang Mulia Duke dan Duchess of Cambridge sangat gembira untuk mengumumkan bahawa The Duchess of Cambridge kini sedang menantikan kelahiran anak ketiga mereka. Ratu dan seluruh ahli kerabat Diraja sangat berbesar hati akan berita gembira ini,” kenyataan dari istana itu dibacakan.
Sama seakan kehamilan sebelum ini, Kate mengalami masalah hyperemesis gravidarum, yang mana termasuklah mual dan muntah yang lebih teruk dari alahan pagi yang biasa dialami oleh ramai wanita hamil pada awal kehamilan.
Disebabkan masalah alahan yang dialami, Kate sehingga terpaksa membatalkan rancangan di Hornsey Road Children’s Centre yang bertempat di London, yang mana sepatutnya dijadualkan pada pagi Isnin (semalam). Kate dikatakan kini sedang berehat di Istana Kensington.
Difahamkan bahawa Duchess of Cambridge ini belum lagi memasuki minggu ke-12, yang mana wanita hamil akan melakukan imbasan pertama, tetapi pasangan Diraja Britain ini mengambil keputusan untuk membuat pengumuman awal kerana alahan yang dialami Kate.
Ketika pertama kali Kate hamil putera pertamanya, Putera George pada tahun 2012, isteri kepada Putera William ini terpaksa dimasukkan ke dalam wad gara-gara alahan yang dialaminya sekaligus mempercepatkan pengumuman dari Istana Kensington akan kehamilannya.
Sewaktu kehamilan kali kedua, Kate telah dirawat di Istana Kensington. Kehamilan ketiga buat pasangan Diraja ini bakal menjadikan Putera George dan Puteri Charlotte sebagai abang dan kakak.
Tidak kira sama ada zuriat ketiga ini adalah lelaki atau pun perempuan, bayi tersebut akan menjadi yang kelima dalam senarai yang bakal memegang takhta selepas kakaknya, Puteri Charlotte, sekaligus menurunkan tangga pemegangan takhta buat Putera Harry.
Pertukaran undang-undang selepas perkahwinan Putera William dan Kate menjadikan wanita turut mempunyai hak yang sama untuk memegang takhta seperti lelaki. Zuriat ketiga ini bakal menjadi cicit keenam Ratu Elizabeth.