Duchess of Cambridge ini dilihat mengenakan dress renda berona hitam yang digayakan ketika hamil Puteri Charlotte sebelum ini.
Kamus fesyen Kate Middleton masih lagi yang terunggul! Duchess of Cambridge ini hadir di acara gala amal yang berlangsung di Kensington Palace dengan mengenakan dress renda Diane von Furstenburg yang pernah dipakai sebelum ini serta menampakkan tumbesaran perutnya yang kini hamil bayi yang ketiga.
Kate pernah dilihat memakai dress yang sama ketika bertemu dengan kumpulan One Direction pada tahun 2014. Cuma kali ini, Kate tampil dengan gaya rambut separa kerinting paras bahu yang dilepaskan serta ditambah pula aksesori gelang tangan berlian dan beg kepit berona hitam.
Kate dan Putera William mengumumkan kehamilan bayi ketiga itu pada bulan September lalu, sebulan selepas itu mereka memaklumkan kepada umum yang mana bakal adik beradik baru buat Putera George dan Puteri Charlotte itu dijangka akan dilahirkan pada bulan April 2018.
Walaupun mengalami mabuk hamil yang sangat ekstrem, Kate masih meneruskan tugas Diraja dengan senyuman. Kate tampil di khalayak ramai buat pertama kali selepas pengumuman hamil tersebut pada pertengahan bulan Oktober yang lalu. Bahkan minggu lalu Kate juga ikut serta dalam perlawanan tenis dengan sekumpulan kanak-kanak.