Dalam dunia yang serba moden ini, berkahwin dengan lelaki duda bukan lagi isu utama dalam membina hubungan. Malah, semakin ramai wanita yang terbuka hati menerima lelaki yang pernah melalui fasa rumah tangga.
Menjadi isteri kepada seorang duda hadir dengan cabaran dan keistimewaan tersendiri. Mungkin dia pernah terluka, mungkin juga dia sudah punyai anak atau mungkin dia lebih berhati-hati dalam soal cinta.
Tetapi di sebalik itu semua, ada satu perkara yang tak boleh disangkal iaitu dia tahu erti kehilangan dan kerana itu dia lebih menghargai kehadiran baru dalam hidupnya.
Status duda seringkali dipandang dengan pelbagai perspektif. Ada yang melihatnya sebagai satu beban, namun ramai juga yang mula sedar bahawa lelaki duda sebenarnya memiliki banyak kelebihan yang menjadikannya calon suami yang sangat baik.
Jika dilihat dari sudut positif, berkahwin dengan lelaki duda bukan sahaja memberi peluang untuk membina keluarga baharu, tetapi juga hadir bersama pengalaman dan kematangan yang tidak ternilai.
1. Lebih matang dalam mengendalikan emosi
Seorang lelaki yang pernah melalui alam perkahwinan biasanya lebih tenang dan matang dalam menyelesaikan konflik. Pengalaman hidup yang dilaluinya, baik dari sudut kejayaan mahupun kegagalan rumah tangga yang lepas, menjadikan dia lebih bijak dalam menjaga perasaan dan berkomunikasi dengan pasangan.
2. Pengalaman hidup yang mendalam
Lelaki duda sudah melalui banyak fasa kehidupan dari percintaan, perkahwinan mungkin juga menjadi seorang ayah. Ini menjadikan mereka lebih bersedia dari segi mental dan emosi untuk menghadapi cabaran hidup berumahtangga yang baharu.
3. Tahu apa yang diinginkan dalam hubungan
Berbanding lelaki bujang yang masih tercari-cari identiti dan hala tuju dalam perhubungan, duda selalunya lebih jelas dengan apa yang mereka mahukan dalam pasangan. Mereka cenderung mencari hubungan yang stabil, penuh kejujuran dan tidak bermain-main.
4. Lebih bersedia menjadi suami dan ayah
Jika mereka mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu, itu juga membuktikan bahawa mereka sudah ada pengalaman dalam menguruskan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Ia satu nilai tambah bagi wanita yang mahukan pasangan yang bertanggungjawab dan penyayang.
5. Lebih menghargai kehadiran pasangan
Selepas pernah kehilangan atau berpisah dengan pasangan dahulu, lelaki duda kebiasaannya lebih menghargai kehadiran insan baharu dalam hidup mereka. Mereka tahu erti kehilangan dan tidak mudah mengambil ringan tentang hubungan.