Selama 9 hari mengelilingi New Zealand (North Island) menaiki campervan, Penulis Kanan Fesyen EH! berkongsi pengembaraan yang tidak boleh dilupakan.
New Zealand sentiasa berada di dalam senarai wishlist negara yang saya mahu lawati. Selain dianugerahkan dengan keindahan alam semulajadi yang menakjubkan, New Zealand juga menawarkan pelbagai akviti lasak yang perlu cuba bila berada di sana nanti seperti terjun udara.
Saya bersama rakan-rakan mahu merasai sendiri musim sejuk lantas kami merancang pengembaraan kami pada penghujung musim sejuk pada ahir bulan Julai sehingga Ogos. Jumlah pelancong pada musim sejuk juga jauh lebih sedikit berbanding pada musim panas yang merupakan waktu paling ideal untuk melawat New Zealand.
Anda tidak perlu bersesak di kawasan tarikan pelancong dan jalan raya juga lenggang. Bergantung kepada altitud, suhu di North Island adalah sekitar -1 sehingga 15 darjah Celcius dan adakalanya hujan lebat pada musim sejuk.
Campervan atau motorhome adalah pilihan kenderaan yang paling tepat untuk mengembara ke seluruh pelusuk New Zealand. Bergantung pada saiz, sebuah campervan dilengkapi dengan tempat tidur, dapur, kamar mandi dan tandas. Pelbagai juga kemudahan telah disediakan oleh kerajaan New Zealand buat pelancong seperti ruang parkir, tandas awam dan campground berbayar mahupun percuma untuk bermalam.
Saya sarankan anda untuk merancang perjalanan anda dengan teliti sebelum memulakan pengembaraan anda. Dan jangan lupa untuk memuat turun travel apps yang boleh membantu perjalanan anda nanti seperti Motorhome Republic. Dan perlu ingat, had kelajuan campervan adalah 90 km/sejam.