Hari Kedua
Kami bangun seawal 6 pagi untuk mengambil campervan di Britz Campervan Rentals yang berada berdekatan dengan lapangan terbang. Segala urusan tempahan sudah saya buat sebulan sebelum.
Selesai proses pendaftaran, kami memulakan pengembaraan ke destinasi pertama iaitu Cathedral Cove di Te Whanganui-A-Hei Marine Reserve di Coromandel Peninsula. Perjalanan pengambil masa selama 2 jam 45 minit dari Auckland.
Cathedral Cove adalah gerbang batu persis sebuah katedral yang terletak berdekatan pantai Hahei. Selain bot atau kayak, pengunjung hanya boleh berjalan melalui trek hiking mudah selama 2 jam (pergi dan balik) untuk ke sana.
Ia dikelilingi oleh deretan pantai indah seperti Gemstone Bay dan Mares Leg yang turut saya lawati. Walau bagaimanapun, kami tidak berkesempatan untuk melawat Hot Water Beach yang berada hanya 10 minit daripada Cathedral Cove kerana waktu air surut yang sudah gelap.
Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Matamata dan bermalam di sana.