Hari Ketiga
Setiap pagi selepas selesai sarapan, kami bergerak ke destinasi seterusnya. Buat peminat trilogi The Lord of the Rings dan The Hobbit seperti saya, Hobbiton Movie Set di Matamata adalah destinasi yang wajib untuk dilawati.
Seperti kembali ke zaman fantasi Middle-earth tulisan J. R. R. Tolkien, pengunjung dapat mengikuti tour harian selama 2 jam ke lokasi sebenar filem arahan Peter Jackson iaitu The Shire.
Saya cukup teruja mengunjungi sekitar kampung Frodo dan Bilbo seperti Hobbit Holes, the Mill dan The Green Dragon Inn yang menyediakan pilihan minuman percuma. Walaupun hujan renyai sepanjang tour kami, saya sempat juga membeli beberapa cenderahati sebagai kenangan paling precious untuk dibawa pulang.
Dari Matamata, kami meneruskan kembara ke Blue Lake dan Green Lake atau Lake Tikitapu dan Lake Rotokakahi dalam bahasa Maori di Rotorua. Berdiri di antara dua tasik ini, saya dapat melihat perbezaan warna antara biru dan hijau zamrud disebabkan oleh permukaan lantai tasik gunung berapi. Pelbagai aktiviti air boleh dijalankan di Blue Lake ketika musim panas seperti berkelah, water ski, jet ski, mandi-manda dan banyak lagi. Malangnya ketika musim sejuk tidak banyak aktiviti yang boleh dijalankan. Kami hanya dapat bergambar sambil menikmati tiupan angin dingin dan keindahan hutan Whakarewarewa yang mengelilingi tasik. Green Lake pula adalah kawasan larangan kerana ia dimiliki oleh suku Iwi dan dianggap suci oleh mereka.
Bila matahari mula terbenam, kami mulakan perjalanan ke Mt. Ruapehu untuk bermalam di sana.