Hari Ke-5
Great Lake Taupo adalah destinasi wajib yang perlu dikunjungi. Tasik ini mempunyai keluasan seperti negara Singapura dan cukup indah berlatarkan pergunungan salji Mt Ruapehu.
Banyak aktiviti boleh dilakukan di sekitar tasik. Tapi aktiviti saya hari itu berada di atas udara. Ya saya akan melakukan terjun udara buat pertama kali! Tiba di Taupo Tandem Skydiving, perasaan gemuruh bercampur teruja mula terasa. Setelah selesai mengikuti kelas penerangan dan memakai uniform yang disediakan, sudah tiba masa untuk saya menaiki kapal terbang kecil bersama master dan peserta yang lain.
Bila kapal terbang itu mencecah ketinggian 9000 kaki, pintu kapal dibuka dan pasangan demi pasangan mula terjun ke luar udara. Selama 20 saat freefall sebelum paracut dibuka, perasaan itu tidak boleh gambarkan. Tambah dengan pemandangan Lake Taupo dan kawasan sekeliling menjadikan ia pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila.
Tonton video saya melakukan skydiving di Taupo, New Zealand. Bucket list checked!
Kami meneruskan perjalanan ke Whanganui untuk bermalam. Di sana terdapat pilihan camperground percuma yang terletak di atas Durie Hill. Ketika kami sedang bersiap untuk ke tandas awam, sekumpulan lelaki bermotosikal mengelilingi campervan sambil gelak ketawa. Saya mula merasa takut lantas terus menelefon polis untuk meminta bantuan.
Syukur kami masih berasa di dalam campervan ketika itu. Melalui perbualan telefon, polis itu mengarahkan kami untuk beredar dan mencari kawasan yang lebih selamat. Kumpulan motosikal itu masih mengekori kami sehingga mereka berhenti di persimpangan jalan utama. Kami meneruskan perjalanan ke satu camperground berbayar berdekatan. Pengalaman yang menakutkan ini mengajar saya untuk lebih berhati-hati sepanjang masa.