Hari Ke-6
Whanganui adalah antara kota peneroka tertua di New Zealand. Banyak bangunan warisan bersejarah yang boleh dilawati di sini seperti Whanganui Opera House, Sarjeant Art Gallery dan Durie Hill Elevator yang dibina pada 1919. Walaupun kami mengalami pengalaman yang menakutkan, kami kembali ke Durie Hill untuk menikmati pemandangan seluruh kota Whanganui dari atas bukit.
Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Wellington yang mengambil masa 2 jam 30 minit. Dalam perjalanan, kami singgah di Paraparaumu Beach untuk makan tengah hari. Kota kecil tepi pantai ini menyajikan deretan kafe dan kedai yang sungguh indah sambil menikmati tiupan angin pantai yang dingin. Impian saya untuk merasai fish & chips juga terlaksana di sini. Di sini juga, kami dapat melihat Kapiti Island yang menghijau sambil menikmati ais krim Kapiti perisa coklat.
Bila perut sudah kenyang, saya meneruskan pemanduan ke Wellington yang terletak di selatan North Island. Wellington adalah ibu negara kosmopolitan New Zealand yang sarat dengan energi kreatif dan warna. Wellington turut dinamakan sebagai world’s most liveable city in the world oleh senarai Quality of Life oleh Deutsche Bank.
Kami meletakkan campervan berdekatan dengan Cuba Street yang popular. Tanpa membuang masa, kami terus berjalan di sekitar kota. Kami sangat bertuah kerana pada malam itu terdapat Wellington Night Market yang menyediakan gerai makanan dan kedai cenderahati. Sempat juga saya mengisi perut dengan berkongsi beberapa jenis makanan lokal dan antarabangsa yang dijual. Kami kembali ke campervan dan bermalam di sana.