Hari Ke-7
Bangun dari tidur, kami terus bersiap dan memulakan eksplorasi kota Wellington. Kami singgah di kafe Stories Coffee untuk sarapan pagi. Seperti kota Melbourne, Wellington dibanjiri dengan kafe-kafe yang menyajikan kopi dan seleksi makanan brunch yang menyelerakan. Selepas sarapan pagi, kami berjalan ke waterfront.
Di sini, saya dapat merasai ketenangan dan keindahan sebenar kota Wellington. Antara yang menarik perhatian saya adalah sebuah piano berwarna yang terletak di tepi waterfront. Di sini juga terdapat The Wellington Underground Market yang dibuka setiap Sabtu. Banyak cenderahati boleh didapati dalam harga yang berpatutan.
Selepas 2 jam menghabiskan masa di sekitar waterfront, kami berjalan ke Wellington Cable Car yang kelihatan seperti kereta kabel Bukit Bendera, Pulau Pinang. Naik ke ketinggian 120 meter, saya dapat melihat pemandangan seluruh kota Wellington yang mengangumkan. Banyak aktiviti boleh dibuat di sini seperti berjalan sekitar Wellington Botanic Garden, melawat Cable Car Museum dan Space Place di Carter Observatory. Jangan lupa untuk berkelah di sini nanti. Kerana saya seperti sudah jatuh cinta dengan kota Wellington, kami memutuskan untuk menambah lagi satu malam di sana.