Teks : Azliany Mohamad
"Tidak ada gunanya untuk saya teruskan kehidupan. Diri dan jiwa saya menjadi seperti orang lain ibarat ada nyawa lain yang memasuki dalam tubuh badan saya. Saya tidak mampu untuk mengawal minda saya sendiri." - Nicole
“Seperti Ibu lain, setiap bulan saya akan menjalani pemeriksaan kandungan dengan doktor bagi mengetahui perkembangan kesihatan kandungannya. Begitu juga dengan saya.”
“Pemeriksaan dilakukan seperti biasa dan pada ketika itu kandungan saya berusia tujuh bulan. Pada hari pemeriksaan tersebut, doktor dan jururawat meminta saya untuk melakukan pemeriksaan yang lebih detil dan saya sempat berkata pada jururawat dan doktor saya ingin cepat kerana mempunyai banyak urusan yang perlu saya uruskan. Tetapi mereka cuba lengahkan masa dengan meminta saya untuk meminum air dan berehat seketika, sementara doktor yang melakukan pemeriksan memanggil doktor yang lain masuk ke dalam bilik pemeriksaan.”
“Mereka melakukan imbasan pada kandungan saya banyak kali. Saya dapat lihat dari wajah doktor yang menyatakan ada sesuatu terjadi pada kandungan saya dan naluri saya juga dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Doktor hanya memandang saya dan berkata ‘I’m so sorry’ dan hanya jeritan yang dapat saya luahkan atau mengambarkan perasaan pada ketika itu. Mereka cuba untuk menenangkan saya tetapi keadaan saya pada saat itu teramat sedih kerana saya kehilangan satu-satunya anak lelaki saya.”
“Pada mulanya saya tidak mempercayai dan melakukan pemeriksaan dengan doktor yang lain bagi mendapatkan kepastian. Keputusannya tetap sama, bahawa anak dalam kandungan saya tidak bernyawa dan mengalami masalah komplikasi dalaman (jantung) yang tidak dapat diselamatkan.”
“Apa yang membuatkan saya bertambah sedih saya perlu melahirkan anak dalam kandungan dengan cara normal dan ia amat memilukan hati saya kerana saya amat menantikan saat kelahiran anak lelaki saya memandangkan saya mengandung ketika umur yang agak berusia.”
Kemurungan bermula
“Pada saat saya kehilangan anak, dunia saya gelap, kosong dan rasa seperti diri saya jatuh ke bawah. Apa yang terjadi? Dimanakah silapnya? Adakah ini hukuman yang Tuhan berikan pada saya? Semua itu menjadi persoalan dalam minda saya sehingga saya tidak dapat melelapkan mata kerana asyik berfikir. Hari demi hari saya dapatkan rasakan perubahan yang terjadi yang pelik pada diri dan kehidupan saya. Setiap tiap kali saya melihat anak kecil saya akan menangis dan membuatkan diri saya semakin tertekan. Bagi memulihkan keadaan, saya mendapatkan kauseling dari pakar selama sebulan dan kemudian saya bercuti ke Itali selama sebulan juga bagi menenangkan jiwa dan memulihkan segala tekanan yang saya hadapi. Sekembalinya ke Malaysia, saya ingatkan, saya mampu untuk menghadapi masalah tersebut. Tetapi jangkaan saya meleset. Bila saya ternampak anak kecil yang sebaya dengan anak saya, Brandon (nama yang diberikan kepada anak saya), emosi saya berasa sangat tidak stabil, tekanan mula terasa pada diri, saya mula tidak boleh tidur dan tidak lalu untuk makan. Dari saat itu saya mula berfikir, tidak ada gunanya untuk saya teruskan kehidupan. Diri dan jiwa saya menjadi seperti orang lain ibarat ada nyawa lain yang memasuki dalam tubuh badan saya. Saya tidak mampu untuk mengawal minda saya sendiri. Doktor ada nasihatkan saya untuk mengambil ubat anti-kemurungan tetapi saya menyatakan padanya, saya tidak mahu mengambilnya.”
“Dalam keadaan diri yang masih tidak stabil, saya meneruskan kerja yang telah lama saya tinggalkan. Walaupun sibuk dengan kerja tetapi saya dapat rasakan diri saya tidak memberikan fokus seratus peratus. Hari-hari saya hadir ke pejabat dalam keadaan yang tidak terurus seperti ‘zombie’. Tahap keyakinan diri yang rendah, malu untuk berdepan dengan orang membuatkan diri saya lagi tertekan. Rakan sekerja mula bertanyakan persoalan yang bermain diminda saya selama ini dan saya juga sudah menjangkakan situasi ini akan berlaku.”
Keluarga
“Keluarga saya tahu masalah yang saya hadapi tetapi saya tidak banyak bercerita atau meluahkan perasaan saya pada keluarga kerana saya tidak mahu mereka risau tentang diri saya. Pada satu saat, saya memandang ibu dan dari renungan matanya saya tahu ibu saya berasa sedih dan amat risaukan keadaan diri saya. Ia membuatkan diri saya berasa serba salah dan dari saat itu saya membuat keputusan untuk bangkit dari kemurungan yang saya hadapi.”
Proses Pemulihan
“Orang luar boleh memberi sokongan atau nasihat tetapi sekiranya diri saya tidak dapat membantu atau melawan diri saya sendiri, saya tidak mungkin dapat keluar dari masalah ini. Selama enam bulan saya menjalani proses pemulihan dan secara pelahan-lahan saya mendapat keyakinan diri saya kembali bagi menjalani kehidupan harian. Perkara pertama saya lakukan adalah mencari tempat yang boleh membuatkan diri saya tidur. Saya amalkan meminum teh camomile, menjalani rawatan gong, menukar cara pengambilan makanan, pasang muzik ketika tidur dan pelbagai cara lagi saya lakukan. Selain itu juga saya lakukan senaman yoga. Yoga banyak membantu saya dalam memberikan ketenangan diri dan minda. Saya juga banyak membaca buku berkaitan motivasi diri dan kerap kali saya nyatakan pada diri saya bahawa saya berada dalam keadaan baik."
“Selain itu, saya juga ada menulis surat kepada anak saya bagi berkongsi dan meluahkan perasaan saya terhadap dirinya dengan memohon maaf kerana tidak dapat memberikan jantung yang baik kepadanya dan saya tahu dirinya berada di Syurga dalam keadaan yang baik,” ujar Nicole Lee yang sudi berkongsi ceritanya bersama EH!
Apa itu Kemurungan?
Kemurungan merupakan penyakit psikologi yang bercirikan perasaan sedih yang berterusan, kekosongan, berputus asa, tidak berdaya, merasakan diri tidak berguna dan sentiasa dibelenggu rasa bersalah.
Simptom Kemurungan:
-Emosi negatif
-Hilang minat dan rasa seronok
-Perasaan tidak endah
-Perasaan sedih
-Rasa letih
-Mengalami gangguan tidur
-Hilang berat badan dan selera makan secara mendadak
-Resah
-keliru
-Mudah sensitif
-kesunyian
-Kadar konsentrasi yang lemah
-Masalah fizikal termasuk: sakit belakang, sakit kepala, pening, kesakitan kronik dan masalah perut.
-Hilang minat terhadap hubungan seks
Punca
Ia berpunca daripada tekanan emosi dan kesukaran mengatasi konflik atau menyuaikan diri dengan peristiwa buruk yang terjadi dalam diri. Faktor lain adalah ketidakseimbangan biokimia, kemerosotan sel-sel otak (terutama pada orang tua) dan penyalahgunaan alkohol atau dadah.
Cara Mengatasi/ Merawat Kemurungan
1. Amalkan perhubungan yang sihat. Luangkan masa dengan orang tercinta. Sentiasa bercerita atau luahkan perasaan bersama mereka.
2. Bersenam. Lakukan senaman setiap hari bagi meningkatkan daya fizikal dan minda anda.
3. Amalkan diet yang seimbang.
4. Berfikir secara positif
5. Jangan malu untuk bertemu dengan doktor atau pakar psikiatri bagi mendapatkan rawatan.
Jenis gangguan kemurungan: