Keretapi Sarong kembali pada tahun ini dengan tema fesyen Etnik. Jadi, jangan terkejut jika anda berada di dalam kereta api pada hari Sabtu, 16 September dan melihat semua orang berpakaian kain batik dan etnik! Anda juga boleh menyertai keseronokan sambil memakai sarung terbaik anda!
Masih tergiang keceriaan dan semangat patriotik yang saya sertai pada tahun lepas. Bukan sahaja mendapat sambutan hangat, acara ini melihatkan generasi kini amat menghargai sentimen perjuangan pahlawan dahulu, bergaul sesama bangsa dan malah bangga menyarungi pakaian tradisional masing-masing. Perjalanan melalui pengangkutan awam dan permainan tradisional yang menghangatkan perjalanan ke destinasi akhir, membuatkan saya ternanti dimanakah lokasi yang bakal menjadi pusat kumpul orang ramai.
Jika dahulunya berkumpul di Pavilion, Kuala Lumpur, saya menjangkakan tahun ini pasti berlokasi di tempat yang besar, luas dan petanda kawasan berkaitan sejarah dahulu. Tetapi tujuannya utama bukanlah lokasi semata-mata, ia tertumpu pada kejadian yang menyantuni bangsa dan etnik yang pelbagai tidak kira usia muda mahupun tua.
Suntikkan semangat patriotik, raikan Hari Malaysia 2023 dengan menyertai Keretapi Sarong bertemakan gaya etnik di lokasi terpilih.
Apa itu Keretapi Sarong?
Matlamat acara patriotik ini adalah untuk menyatu padukan rakyat Malaysia tidak kira latar belakang mereka dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan memartabatkan kain sarung sebagai lambang integrasi budaya Malaysia.
Setiap tahun pada 16 September pada Hari Malaysia, penduduk tempatan dan juga pelancong akan memakai pakaian sarung atau pakaian tradisional mereka dan menaiki kereta api awam di sekitar Lembah Klang, menuju ke tempat titik pertemuan di mana mereka akan meraikan istimewa ini sambil berpakaian tradisional.
Destinasi terakhir adalah rahsia dan hanya akan didedahkan pada hari berkumpul di lima pusat utama iaitu MRT Kajang, LRT Gombak, LRT Subang, MRT Bandar Utama, LRT Ampang dan tambahan stesen baharu iaitu Putrajaya Sentral.
Orang ramai dijemput menyertai dan berkumpul dengan tema fesyen Etnik, Keretapi Sarong untuk menyambut Hari Malaysia. Pelbagai acara, termasuk nyanyian lagu rakyat, tarian tradisional (Joget Lambak), permainan tradisional, persembahan, kuiz, dan beberapa pertandingan akan berlangsung di stesen dan lokasi akhir.
Untuk maklumat lanjut tentang acara Keretapi Sarong, layari laman web Locco.
Baca: 5 Filem Patriotik Wajib Tonton Merdeka ini