Sama ada dijadikan sebagai penghias dulang hantaran atau sebahagian daripada subjek dekorasi atur cara majlis, pemilihan kek perlu diberikan perhatian khusus. Walaupun ada yang berpendapat acara memotong kek itu lebih mirip kepada gaya perkahwinan Barat, ia sudah lama diterima dengan positif dalam adat kita merai mempelai. EH! sempat mendapatkan tip daripada tiga penyedia kek tersohor tempatan.
“Selain rasa kita perlu mengambil kira soal berapa lama kek itu boleh bertahan. ‘Daya tahan’ fondant perlu diambil kira dan kerana itu jugalah perisa kek perkahwinan agak terhad seperti kek mentega, kek buah, oren atau kek coklat. Selain itu usah lupa sertakan gambar atau butiran tentang kek yang diinginkan. Antaranya soal warna tema, corak, saiz, perisa, bentuk dan jumlah tetamu serta tarikh majlis.” – Aishah dari ThatLastSlice
“Jangan menyamakan kek kahwin dengan kek ulang tahun kelahiran. Trend kini ialah menghasilkan kek bersesuaian dengan cita rasa, tema dan punya lima hingga enam tingkat agar tetamu yang hadir bisa menikmatinya.” – Su dari Delectable by Su
“Berikan kebebasan kepada pereka kek untuk berkarya. Kebanyakan pereka kek punya sentuhan serta stail artistik yang unik. Berikan mereka ruang untuk memberi sentuhan peribadi dan saya percaya setiap pereka kek sendiri seronok untuk berikan yang terbaik untuk anda,” tambah Satira yang menyediakan kek untuk perkahwinan Awal Ashaari dan Scha Alyahya. – Satira Diana dari Pearl Cake Couture & Event Styling