Mungkin atas faktor usia dan saya sudah memiliki kediaman sendiri, saya amatlah teruja apabila dikirimkan gambar-gambar koleksi terbaru Dior Maison. Lakaran pada barangan tembikarnya cantik-cantik belaka.
Menurut cerita, sewaktu Mr Christian Dior masih di usia kanak-kanak, dia sangatlah menyukai buku tulisan Jules Verne berjudul ‘Around the World in Eighty Days’. Baginya buku itu meninggalkan kesan padanya, dia amat suka menggunakan imaginasinya membayangkan apa yang berlaku menurut setiap halaman yang dibacanya.
Dan dari buku ini, maka tercetuslah idea untuk koleksi terbaru Dior Maison. Cordelia de Castellane pengarah artistik Dior Maison dan Baby Dior, menggunakan imaginasinya menghasilkan ilustrasi hasil dari inspirasi dari buku yang sama.
Belon udara panas menjadi titik tumpu atau tema utama pada koleksi ini. Ilustrasi belon udara panas menjadi lakaran penting yang menghiasi setiap item dalam koleksi yang bakal dipasarkan pada September nanti. Koleksi porselin ini hadir dengan enam pinggan makan dan piring manisan berserta dua pilihan porselin berbentuk oval sebagai pinggan hidang.
Tiap lakaran pada porselin ini juga disempurnakan dengan lakaran identiti Dior seperti Christian Dior monogram, bintang, lebah, bunga mawar dan lili. Koleksi ini turut melihat kolaborasi Dior bersama Manufacture des Émaux de Longwy yang sudah bertapak sejak 1798 lagi.
Koleksi Le Fantastique Voyage de Monsieur Dior terbaru ini akan mula berada di pasaran pada 11 September 2026 nanti. Layari pautan DIOR Maison untuk melihat koleksi dekorasi yang menarik dari rumah Paris ini.








