Label pakaian dalam milik bintang realiti, Kim Kardashian berjaya mencatatkan peningkatan nilai pasaran berjumlah lebih RM1 bilion sejak sembilan bulan lalu.
Tidak boleh dinafikan lagi, Kim Kardashian merupakan antara bintang realiti yang paling bijak menggunakan pengaruhnya untuk mencipta nama dalam bidang perniagaan. Terbaharu label pakaian dalam, Skims milik Kim Kardashian berjaya mencatatkan peningkatan nilai pasaran berjumlah lebih RM1 bilion sejak sembilan bulan lalu.
Skims berjaya menggandakan nilai pasarannya yang berjumlah RM6.7 bilion pada April tahun 2021. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Skims, Jens Grede, peningkatan lebih RM1 bilion itu disumbangkan oleh dana lindungan nilai oleh Lone Pine Capital bersama pelaburan D1 Capital Partners. Kim Kardashian bersama Grede masih lagi merupakan pemegang saham utama Skims.
Sejak diasaskan pada 2019, Skims yang bermula dengan rangkaian shapewear seperti bodysuit dan seluar pendek kini turut sama menawarkan seleksi pakaian loungewear yang selesa seperti pajama dan seluar sweat. Hari ini, ia turut mempunyai pilihan yang meluas seperti jubah tidur dan baju kolar leher penyu.
Sebagai antara bintang realiti dan ikon fesyen yang paling berpengaruh, Kim Kardashian menggunakan media sosial untuk mempromosikan labelnya ke seluruh pasaran antarabangsa. Akaun Instagram peribadinya kini mempunyai lebih 283 juta pengikut, manakala akaun Skims pula mempunyai 3.6 juta pengikut.
Skims sedang dalam perancangan untuk melakukan lebih banyak kolaborasi untuk mengukuhkan lagi pengaruh di pasaran dunia. Tahun lalu, mereka memperkenalkan koleksi edisi terhad bersama rumah fesyen ikonik, Fendi yang dimiliki oleh syarikat gergasi fesyen, LVMH.
Sukan Olimpik Musim Sejuk yang bakal diadakan bermula 4 Februasi 2022 di Beijing, China juga bakal menjadi momen pemasaran utama buat Skim. Label itu merupakan penaja pakaian dalam dan pakaian tidur untuk atlet Amerika Syarikat, meneruskan kolaborasi yang bermula pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu.
Foto: Getty Images
Baca lebih lanjut: LaLaport Pertama Di Asia Tenggara Kini Dibuka Di Kuala Lumpur