Airbnb bekerjasama dengan label kecantikan gergasi Korea, Innisfree untuk melancarkan ‘Innisfree Farm Stay, Only On Airbnb’ yang menawarkan pengalaman kembara di ladang teh hijau Innisfree di Pulau Jeju, Korea Selatan.
Melancong pasti berada dalam fikiran ramai, lebih-lebih lagi ketika dunia masih menerima tempias pandemik sejak tahun lalu. Dalam memberikan pengalaman yang unik, Airbnb bekerjasama dengan label kecantikan gergasi Korea, Innisfree untuk melancarkan ‘Innisfree Farm Stay, Only On Airbnb’ yang menawarkan pengalaman satu malam untuk dua orang di ladang teh hijau milik Innisfree buat pertama kali di Pulau Jeju, Korea Selatan.
Pulau Jeju adalah destinasi perlancongan utama buat Airbnb di Korea Selatan. Terletak di selatan Semenanjung Korea, pulau peranginan ini terkenal dengan kehijauan tropikal dan gunung berapi. Teh hijau di Pulau Jeju digunakan dalam rangkaian produk ikonik Innisfree, Green Tea Line yang mempunyai kualiti untuk rawatan kulit. Innisfree akan membuka pintu dua ladang teh mereka di Dolsongyi dan Seogwang yang menjadi lokasi utama untuk produk teh hijau selain menempatkan ruang jualan dan kafe, Jejucafe.
Ketika di sana nanti, tetamu akan menikmati menu khas dengan pengalaman farm-forward, termasuklah berpeluang mempelajari kesenian acara meminum teh serta kembali ke alam semulajadi untuk memetik daun teh hijau bersama pakar penyelidikan daripada Innisfree sendiri. Airbnb Experiences Hosts lokal pula akan membawa tetamu untuk kelas yoga berlatarkan alam semulajadi, sesi penggambaran persendirian di tengah-tengah ladang teh bersama jurufoto professional dan juga kelas seni botanikal kreatif.
Tetamu akan dihidangkan dengan siri sajian yang disediakan oleh cef Jejucafe yang akan menggunakan bahan-bahan asli daripada kepulauan ini. Tetamu juga akan bermalam di sebuah van khemah atmosfera yang berhadaan dengan ladang teh hijau dalam memberikan suasana indoor-outdoor dengan ruang berehat di luar untuk menikmati ketenangan alam semulajadi.
Kempen Airbnb bersama Innisfree ini adalah yang terbaharu dalam siri inisiatif untuk membawakan ruang unik dan ikonik kepada tetamu yang mahukan pengalaman satu-satunya di dunia. Sebelum ini, kempen ini telah diadakan di muzium The Louvre di kora Paris serta rumah pantai penuh glamor di Malibu yang bertemakan Barbie.
Walau bagaimanapun, kempen kali ini hanya terbuka kepada warga Korea Selatan sahaja. Pengalaman penuh magis ini akan diadakan pada 6 sehingga 7 Ogos 2021 untuk dua tetamu bertuah. Bayaran tempahan berjumlah USD$10 (RM42) akan dikenakan ketika proses tempahan di platform Airbnb, dan akan dipulangkan secara tunai ketika di sana nanti,
Foto: Airbnb
Baca lebih lanjut: “Saya hilang 5 kilogram untuk watak Park Jae-eon,” – Song Kang melalui siri baharu, ‘Nevertheless’