Kini penggemar fesyen boleh mendapatkan koleksi pereka label lokal melalui O.C.M. (One Common Mission), stor multi-label LazMall pertama jalinan kolaborasi antara Lazada Malaysia dan Kuala Lumpur Fashion Week.
Berita baik buat peminat fesyen Malaysia! Bermula 31 Mac 2021, peminat fesyen boleh mendapatkan koleksi pereka label lokal melalui O.C.M. (One Common Mission) yang merupakan stor multi-label LazMall yang pertama. Jalinan kolaborasi antara platform e-dagang terkemuka, Lazada Malaysia dan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) adalah stor eksklusif pertama yang menampilkan barisan pereka label Malaysia.
O.C.M. akan menampilkan barisan label pereka lokal terkenal dan juga yang sedang meningkat naik seperti Rizman Ruzaini, Syomirizwa Gupta, Fiziwoo, Behati, Zaimi Zulkifli, Kit Woo dan banyak lagi. Stor dalam talian ini menyasarkan untuk membantu industri fesyen lokal dengan mempromosikan rekaan Malaysia kepada lebih daripada satu pertiga rakyat Malaysia yang membeli-belah di Lazada setiap bulan.
Berbeza kali ini, O.C.M. memberikan fokus kepada trend dan gaya fesyen buat millennial dan Generasi-Y yang sangat mementingkan stail dan fesyen. Platform media sosial menjadi keutamaan dalam perkembangan terkini dunia fesyen tetapi golongan ini juga mahukan alternatif mampu milik dan tersendiri yang dapat memberikan mereka produk dan gaya hidup berkualiti tinggi.
Bersempena dengan kehadiran Ramadan dan Syawal tidak lama lagi, stor multi-label lokal ini juga akan menampilkan koleksi Raya terbaharu untuk tempoh yang terhad eksklusif di Lazada oleh barisan pereka dan label lokal kegemaran. Himpunan Raya ini merangkumi pakaian sedia dipakai, beg tangan, barangan kemas, aksesori dan banyak lagi yang pasti akan melengkapkan gaya lebaran yang lebih segar dan urban.
“Kerjasama ini adalah permulaan kepada banyak lagi perkara hebat yang bakal mewarnai industri fesyen di antara Lazada dan Kuala Lumpur Fashion Week. Kami tidak sabar untuk berganding bahu bagi menyemarakkan lagi pertumbuhan industri fesyen lokal dan membawakan pelbagai jenis fesyen tempatan terbaik untuk dinikmati oleh para pembeli kami, terutamanya semasa Ramadan dan Hari Raya yang bakal tiba,” kata Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Diana Boo.
“O.C.M membawakan ideologi pengalaman menakjubkan kepada rakyat Malaysia di mana kami membayangkan kemudahan akses fesyen dalam talian di mana semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang berada di kawasan pendalaman, terangkum dalam penemuan karya fesyen yang hebat dan mampu milik daripada jenama dan label rekaan Malaysia yang kurang dikenali,” kata Pengasas KLFW, Andrew Tan.
Bukan sahaja peminat fesyen boleh melengkapkan gerobok fesyen dengan mudah dan cepat, anda juga dapat memberikan sokongan kepada barisan pereka label Malaysia yang turut sama menerima tempias pandemik melalui O.C.M. eksklusif di Lazada Malaysia.
Foto: O.C.M. x Lazada
Baca lebh lanjut: Sempurnakan Gaya Hidup Anda Cara BTS