CHERY terus memperkukuhkan pengaruhnya menerusi pelancaran LEPAS sebuah jenama baharu yang hadir dengan identiti lebih moden, stylish dan berorientasikan gaya hidup. Diperkenalkan secara rasmi pada 2025 di Wuhu, China, LEPAS bukan sekadar jenama kenderaan elektrik dan hybrid biasa, tetapi sebuah visi baharu tentang bagaimana teknologi, reka bentuk dan emosi boleh digabungkan dalam satu pengalaman pemanduan.
Nama “LEPAS” sendiri membawa maksud gabungan perkataan Leap dan Passion, melambangkan semangat progresif, kebebasan serta gaya hidup moden yang lebih ekspresif. Di sebalik identiti tersebut, LEPAS dibangunkan khusus untuk pasaran global dan menjadi sebahagian daripada strategi besar CHERY dalam memperluaskan pengaruhnya di luar China.
Inspirasi Harimau Bintang Sebagai DNA Utama
Apa yang paling membezakan LEPAS daripada subjenama CHERY lain seperti Omoda atau Jaecoo adalah reka bentuknya yang dikenali sebagai Leopard Aesthetics. Inspirasi utama datang daripada pergerakan harimau bintang yang melambangkan kelajuan, kekuatan, fleksibiliti dan elegan dalam satu masa.
Daripada lampu DRL yang diinspirasikan daripada mata harimau bintang, garisan badan yang menyerupai otot haiwan tersebut ketika berlari hinggalah siluet badan yang lebih lembut dan sporty, semuanya direka untuk mencipta identiti visual yang lebih emosional dan premium.
LEPAS percaya reka bentuk yang baik bukan sekadar cantik dipandang, tetapi perlu mempunyai karakter dan mampu bertahan lama tanpa bergantung kepada trend sementara. Sebab itu jenama ini membawa pendekatan Natural Energy sebuah konsep yang menggabungkan unsur alam semula jadi, teknologi moden dan gaya hidup kontemporari.
Fokus Kepada “Elegant Mobility”
Berbeza dengan sesetengah jenama EV yang terlalu menekankan teknologi futuristik, LEPAS mahu menjadikan pengalaman pemanduan lebih emosional dan stylish. Mereka memperkenalkan konsep Elegant Mobility iaitu gabungan antara teknologi pintar, keselesaan premium dan reka bentuk yang lebih refined.
Falsafah ini jelas diterjemahkan pada rekaan dalaman model-model LEPAS yang tampil minimalis, luas dan tenang. Antara elemen utama termasuk penggunaan waterfall screen, susun atur dashboard mendatar, pencahayaan lembut serta rekaan kabin yang mengutamakan ketenangan dan keselesaan pengguna. Menurut pasukan reka bentuk LEPAS, mereka mahu setiap model terasa seperti safe space moden untuk pengguna urban yang menjalani kehidupan sibuk setiap hari.
Strategi Global CHERY Yang Lebih Besar
Pelancaran LEPAS juga menunjukkan bagaimana CHERY semakin agresif dalam strategi globalnya. Selepas kejayaan OMODA dan JAECOO di pelbagai pasaran antarabangsa termasuk Malaysia, LEPAS dilihat sebagai langkah seterusnya untuk menarik pengguna yang lebih mementingkan gaya hidup, estetika dan pengalaman premium yang lebih approachable.
CHERY turut menyasarkan LEPAS untuk berkembang pesat di pasaran antarabangsa dengan perancangan membuka lebih 1,200 pusat jualan global serta sasaran pengeluaran sehingga 500,000 unit setahun pada masa hadapan.
Model Pertama LEPAS
LEPAS memulakan perjalanan globalnya dengan model L8, sebuah SUV yang menjadi simbol utama falsafah reka bentuk jenama tersebut. Model ini menampilkan gabungan karakter sporty, elegan dan teknologi moden dalam satu pakej yang lebih premium.
Selepas itu, LEPAS turut memperkenalkan L6 yang lebih urban dan sesuai untuk pengguna bandar moden, manakala L4 pula disasarkan kepada pengguna muda yang lebih fashion-forward. Jenama ini juga dijangka memperluaskan penawaran kepada model hatchback dan EV sepenuhnya pada masa akan datang.
LEPAS dan Masa Depan Mobiliti
Bagi LEPAS, masa depan automotif bukan hanya tentang prestasi atau teknologi semata-mata, tetapi bagaimana sebuah kereta mampu menjadi refleksi personaliti dan gaya hidup pemiliknya.
Dengan identiti reka bentuk yang kuat, falsafah yang jelas dan sokongan teknologi daripada CHERY, LEPAS dilihat sebagai antara jenama baharu yang berpotensi besar untuk mencipta pengaruh tersendiri dalam dunia automotif global khususnya dalam era mobiliti elektrik dan hybrid yang semakin berkembang pesat.

Artikel Berkaitan: Temubual #EHklusif Bersama Ivan Dulanovic, Ketua Pereka LEPAS






