Rasa bosan dengan rutin kerja harian yang sama, mahukan perubahan dalam kerjaya yang persekitarannya tenang ditemani rakan kerja lebih mesra?
Tetapi, keinginan itu terhenti ikutan perasaan takut untuk mengambil risiko, rasa bimbang akan angka gaji yang tidak tinggi kerana ia mungkin tidak dapat menampung komitmen yang sedia ada. Lebih-lebih lagi jika anda baru sahaja melangkah ke fasa kehidupan berumah tangga atau baru menimang cahaya mata.
Menurut kajian careersadviceonline.com, statistik menunjukkan seseorang itu melakukan perubahan pada kerjayanya kira-kira lima hingga tujuh kali dalam tempoh mereka bekerja. Dengan lambakan peluang pekerjaan, lengkap dengan pelbagai insentif yang menguntungkan, dianggarkan 1/3 jumlah pekerja akan menukar kerja dalam tempoh 12 bulan. Jadi, pabila usia menjangkau 42 tahun, mereka sudah mempunyai pengalaman kira-kira 10 pekerjaan. Walau bagaimanapun, anda perlu peka dengan kesilapan yang mungkin bakal terjadi pada masa beralih kepada kerjaya baru.
Lambat ambil langkah
Jangan tunggu sehingga anda berasa tekanan kerja berada di paras maksimum barulah waktu itu anda mahukan perubahan kerjaya. Jangan lakukan keputusan terburu-buru dan berputus asa dengan kerjaya anda. Ambil waktu untuk perbaiki kelemahan. Mungkin dengan menyatukan kembali perhubungan antara rakan kerja yang sudah renggang, tambah lebih rasa hormat pada mereka atau kembangkan kemahiran diri supaya lebih cekap dan menonjol. Setelah segalanya sudah berada pada paras stabil, barulah keputusan rasional dapat dicapai. Melarikan diri daripada masalah bukanlah jalan penyelesaian.
Benci pada kerjaya
Tindakan untuk terus membenci kerja anda hanya menambah kekusutan yang sedang dihadapi. Ambil masa untuk menganalisis sebab utama anda mahu menukar kerja. Adakah kerana majikan, rakan kerja atau kerana kemahiran yang tidak sebati dengan diri. Apa sahaja alasannya, elak keputusan untuk menukar kerjaya selagi anda tidak mempunyai perancangan yang kukuh.
Wang bukan segalanya
Tarikan utama seseorang itu memilih pekerjaan baru semestinya kerana jumlah gaji, selain pelbagai kelebihan lain yang ditawarkan. Tetapi, berhati-hatilah dalam membuat keputusan. Kata orang ‘money won’t buy me happiness’. Ingatlah, walau berapa banyak wang yang anda miliki, jika anda tidak berasa gembira dengan kerjaya anda segala-galanya tidak berguna lagi. Akhirnya, anda akan berada dalam keadaan tertekan sekali gus menjejaskan kesihatan anda. Dan jangan terlalu mengejar kerjaya yang menjadi trend ketika itu. Lakukan sedikit kajian, seimbangkan kebaikan dan keburukan.
Pengaruh tekanan luar
Jangan biarkan ibu bapa, rakan-rakan atau sesiapa sahaja mempengaruhi keputusan anda menukar kerjaya. Buat pilihan sesuai dengan minat anda, bukan mereka. Jika anda menukar kerjaya semata-semata mahu memuaskan hati mereka, anda silap. Sebaliknya anda akan lebih tertekan dengan kerjaya baru yang tidak gemari.
Data tidak dikemas kini
Lihat dulu data mengenai pengalaman bekerja, kemahiran utama serta teknik yang diri anda miliki. Ia menjadi titik utama untuk anda menonjol di tempat baru. Jikalau tidak mencapai apa anda jangkakan, berhenti sejenak dan fikirkan semula. Apakah keputusan untuk menukar kerjaya baru adalah yang terbaik dan menepati kemahiran kerja anda. Gunakan sumber-sumber seperti Career Toolkit untuk menggilap data pekerjaan anda.