Gambar: blog.credit.com
Dalam tidak sedar, anda mengganggu ketenteraman orang lain ketika melakukan rutin senaman di gim. Ikuti undang-undang berikut bagi mengelakkan anda dilabel sebagai pengganggu.
1. Hormat niat pengunjung lain
Bukan semua pengunjung gim itu suka untuk beramah mesra dan membuat kenalan baru. Ada yang selesa mendengar lagu atau membuat hal sendiri ketika bersenam. Jika anda ingin berbual, berbicaralah bersama jurulatih anda.
2. Letak barang bersepah
Selepas menggunakan peralatan di gim, letakkan kembali di tempat asal. Jangan mengharapkan orang lain untuk mengemaskannya untuk anda.
3. Seakan harta sendiri
Bukan anda seorang sahaja yang bayar yuran bulanan gim. Justeru, bertolak ansur dalam penggunaan peralatan dan beri peluang untuk orang lain mencubanya juga.
4. Bukan fashion show!
Gim adalah tempat untuk bersenam. Pakai pakaian yang sopan dan bersesuaian dengan aktiviti anda. Jangan pula sengaja menunjukkan lurah dada atau pakai skirt pendek.
5. Membuat bising
Berbual di telefon dengan suara yang kuat, mencarut serta menjerit kepada teman bersenam anda bukanlah perbuatan yang elok untuk dilakukan. Ia bisa mengundang rungutan orang lain kerana tidak menghormati tempat awam.