Kehadiran bulan Ramadan seakan tidak lengkap tanpa mengunjungi bazar Ramadan. Di bazar Ramadan inilah kita dapat menikmati pelbagai juadah enak yang mungkin sukar ditemui pada bulan-bulan lain selain dibulan Ramadan.
Pejam celik sudah seminggu kita berpuasa. Setiap kali menjelang bulan puasa, satu perkara yang ditunggu-tunggu ramai pastinya bazar ramadan. Bukan hanya umat Islam, malah penganut agama lain juga tidak sabar untuk menjamu mata dan membeli pelbagai juadah enak yang dijual, terutamanya yang sukar didapati pada bulan-bulan lain. Jadi, EH! kali ini ingin menyenaraikan sepuluh bazar Ramadan terbaik di sekitar Lembah Klang agar anda dapat merasai pengalaman bulan Ramadan.
1. Taman Tun Dr Ismail
Bazar Ramadan TTDI adalah antara bazar Ramadan yang paling dinantikan setiap tahun. Sangat popular di kalangan penduduk Taman Tun Dr Ismail dan kawasan sekitarnya. Antara keistimewaan bazar ini adalah pelbagai jenis juadah yang ditawarkan, termasuk juadah viral Mac & Cheese yang menggunakan cheese wheel. Bagi mengelakkan beratur panjang, adalah disarankan untuk datang lebih awal kerana gerai-gerai mula beroperasi seawal jam 4 petang.
2. Kampung Baru
Bazar Ramadan Kampung Baru adalah salah satu destinasi bazar yang paling popular di tengah-tengah ibu kota. Salah satu hidangan yang paling diminati di sini ialah murtabak dan air tebu yang menjadi buruan pengunjung. Suasana meriah dan pelbagai pilihan makanan yang lazat menjadikan bazar ini tempat yang sempurna untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan.
3. Putrajaya
Bazar Ramadan Putrajaya adalah destinasi wajib bagi peminat roti John. Terletak bersebelahan Masjid Tuanku Zainal Abidin, bazar ini terkenal sebagai yang terbesar dan terluas, menawarkan pelbagai juadah makanan dan minuman yang lazat! dengan suasana yang meriah dan pelbagai pilihan makanan, bazar Ramadan Putrajaya pastinya menjadi destinasi kegemaran bagi semua orang. Walau ada yang murah dan mahal, semuanya berbaloi untuk dicuba.
4. PKNS, Shah Alam
Terletak hanya bersebelahan dengan bangunan PKNS, bazar ini adalah antara tempat paling dinantikan di Shah Alam. Kedai-kedai di sini terkenal dengan hidangan yang lazat seperti popia basah, daging salai masak lemak, nasi kerabu tumis, kebab kambing, dan banyak lagi. Memandangkan popularitinya, pengunjung disarankan untuk meletakkan kenderaan di Plaza Shah Alam atau di PKNS.
5. Stadium Shah Alam
Bazar ini merupakan pilihan utama dan sudah menjadi kegemaran penduduk di Shah Alam. Di sini, anda dapat menikmati pelbagai hidangan berbuka puasa yang menggiurkan, seperti ayam bakar madu, sotong bakar portugis dan kerang bakar yang menjadi buruan ramai. Selain itu, nasi mandi oleh chef terkemuka, Chef Ammar, juga boleh didapati di sini. Yang paling menarik, bazar ini menyediakan ruang letak kereta yang luas untuk keselesaan anda.
6. Taman Melawati
Bazar Ramadan Taman Melawati selalu dipenuhi dengan pengunjung yang mencari hidangan berbuka puasa yang lazat. Berbaris panjang di hadapan gerai adalah perkara biasa di sini, tetapi jangan risau, kerana jumlah orang yang beratur sudah cukup menjadi petunjuk bahawa gerai tersebut pasti layak untuk dikunjungi. Terdapat pelbagai juadah popular di sini, termasuk Tepung Pelita, roti John, dan kambing bakar.
7. Wangsa Maju
Bazar Ramadan Wangsa Maju adalah salah satu bazar terpanjang di Kuala Lumpur. Terletak berhampiran dengan LRT Stesen Wangsa Maju, lokasinya sangat mudah diakses oleh pengunjung yang ingin menikmati hidangan tradisional dan juadah moden. Di sini, anda pasti akan teruja dengan pelbagai juadah yang dijual dengan harga yang berpatutan. Bahkan seawal jam 4.00 petang, bazar ini sudah dipenuhi dengan pengunjung yang datang mencari santapan berbuka puasa yang lazat.
Artikel Berkaitan: 5 Hidangan Viral Khairul Aming Yang Anda Patut Cuba Bulan Ramadan Ini