Nikmati pengalaman berbuka puasa yang lebih istimewa dengan pelbagai pilihan hotel yang menawarkan hidangan lazat, suasana selesa dan layanan eksklusif untuk seisi keluarga.
Bulan Ramadan sentiasa membawa suasana yang istimewa, bukan sahaja dari segi ibadah tetapi juga detik berbuka puasa yang dinanti-nantikan.
Di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, buffet Ramadan di hotel-hotel pilihan menawarkan pelbagai juadah lazat, daripada hidangan klasik seperti kambing panggang dan nasi briyani hinggalah pencuci mulut tradisional aneka kuih-muih Melayu. Ditambah pula dengan tema dan konsep tersendiri, pengalaman berbuka puasa menjadi lebih bermakna dan istimewa.
Hilton KL
Hilton KL tampil dengan buffet Ramadan bertemakan Jamuan Penuh Makna, menampilkan lebih 180 hidangan di Vasco’s yang menggabungkan masakan tradisi tempatan dan citarasa antarabangsa. Antara tarikan utama termasuk stesen live premium, pilihan makanan laut lestari serta pencuci mulut ikonik berasaskan durian untuk penutup berbuka yang istimewa.
Harga: RM238 nett dewasa | RM119 nett kanak-kanak (6–12 tahun)
Le Méridien Petaling Jaya
Le Méridien Petaling Jaya mengajak para tetamu menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan dengan pengalaman iftar yang mewah dan bermakna. Buffet Ramadan yang ditampilkan menyajikan aneka hidangan tradisional yang mengimbau nostalgia, digandingkan dengan menu pilihan istimewa yang disusun rapi bagi menyempurnakan detik berbuka puasa anda dalam suasana elegan dan selesa.
Harga Early Bird: RM148 seorang (Pasar Baru)
Grand Hyatt
Grand Hyatt Kuala Lumpur tampil dengan buffet Ramadan yang meraikan kepelbagaian cita rasa Malaysia di JP Teres, menampilkan pelbagai hidangan klasik tempatan daripada lauk tradisional seperti Kambing Masak Lemak, Daging Masak Kicap dan aneka rendang, hinggalah ke sajian kegemaran ramai termasuk satay, nasi ayam, dim sum, murtabak, rojak dan ais kacang. Antara tarikan unik buffet ini ialah stesen ais krim dengan perisa istimewa seperti Nasi Lemak, Nyonya Petai, Salted Egg Yolk dan Roasted Black Garlic, menjadikannya pengalaman berbuka puasa yang benar-benar luar biasa.
Harga: RM199 nett dewasa | RM129 nett kanak-kanak
The Westin Kuala Lumpur
The Westin Kuala Lumpur mengajak para tetamu mengimbau nostalgia Ramadan menerusi tema istimewa “Cerita Kita di Ramadan 2026”, apabila restoran Halal ikonik hotel ini ditransformasikan menjadi sebuah bazar kulinari yang meriah. Dipimpin oleh Chef Eksekutif Arfizan Rahim, buffet ini menampilkan gabungan cita rasa tradisi kampung yang membangkitkan memori, diserlahkan dengan sentuhan kemewahan hotel moden. Antara tarikan utama ialah konsep bazar al-fresco yang menawarkan sajian istimewa seperti Kambing Tandoori Golek oleh Chef Hamid dan Nasi Briyani Kismis yang harum, menghadirkan suasana ala makanan jalanan dengan kualiti premium untuk pengalaman berbuka puasa yang autentik.
Harga:
-
Ahad – Khamis: RM198 nett dewasa | RM99 nett kanak-kanak (7–12 tahun)
-
Jumaat – Sabtu: RM238 nett dewasa | RM119 nett kanak-kanak (7–12 tahun)





