Teks : Muzammin Muzlan
Restoran Antara adalah destinasi terbaru untuk menikmati hidangan Malaysia-Perancis berlatarkan bangunan kolonial nan ikonik.
Jika anda pernah melintasi Lorong Raja Chulan, anda pasti akan terpegun melihat deretan bangunan kolonial serba putih yang kini telah menempatkan beberapa restoran dan kafe baru. Salah satunya adalah Antara, sebuah restoran yang menghidangkan masakan lokal mewah dan moden, yang disatukan dengan elemen kulinari Perancis. Lebih istimewa, pengunjung dapat menikmati hidangan lokal berlatarkan bangunan kolonial yang sudah dibina sejak 1919.
Melangkah masuk anda dapat melihat seni dekorasi yang turut menghembuskan elemen kolonial nan klasik. Inspirasi turut diceduk daripada rumah bapa pemilik di Teluk Intan yang menyuntik rasa oriental pada penggunaan porselin di sekitar restoran. Barangan antik juga terdapat di sini seperti pintu kayu berusia 80 tahun yang diterbangkan dari Sarawak.