Stupid,
Or is it slow?,
Maybe it’s useless?,
But there’s a cuter word for it, I know,
…Man-child
Pasti ramai yang mengenali perkataan ‘Manchild’ menerusi lirik lagu Sabrina Carpenter, namun tidak ramai yang mengetahui maksud sebenar di sebalik istilah tersebut.
Ada segelintir lelaki yang secara fizikal sudah dewasa, tetapi masih berfikir dan bertindak seperti kanak-kanak.
Fenomena ini sering digelar sebagai “manchild” dan malangnya, ramai wanita terlepas pandang tanda-tandanya pada peringkat awal hubungan.

Apa itu Manchild?
Manchild merujuk kepada lelaki dewasa yang gagal menunjukkan kematangan emosi, tanggungjawab dan kebolehan berdikari dalam kehidupan serta hubungan romantik.
Mereka cenderung mengharapkan pasangan mengambil peranan seperti ibu seperti mengurus emosi, kehidupan seharian, malah keputusan penting sedangkan mereka sendiri enggan memikul tanggungjawab sebagai pasangan yang setara.
Masalahnya, sikap ini tidak selalu jelas pada awal hubungan kerana ia sering disamarkan dengan personaliti yang “fun”, manja atau kelihatan tidak serius.
Namun, lama-kelamaan, corak tingkah laku ini boleh menjadi beban emosi kepada pasangan!
Tidak mahu bertanggungjawab
Segala kesilapan yang berlaku jarang sekali diakui. Jika ada masalah dalam hubungan, dia cepat menyalahkan pasangan, keadaan sekeliling atau orang lain. Meminta maaf bukan kebiasaan, sebaliknya dianggap sebagai kekalahan.
Tanda amaran: Dia sering berkata, “You yang overreact,” atau “Itu bukan salah I.”
Bergantung sepenuhnya pada pasangan
Daripada mengurus jadual harian, kewangan, atau urusan hidup asas, semuanya diserahkan kepada pasangan. Pasangan bukan lagi kekasih, tetapi berubah menjadi ‘pengurus kehidupan a.k.a MOMAGER (Mom-manager)’.
Realitinya: Hubungan menjadi tidak seimbang kerana hanya satu pihak yang memikul beban mental dan emosi.
Lemah kawalan emosi
Manchild mudah merajuk, cepat melenting atau bersikap pasif-agresif apabila tidak mendapat apa yang diinginkan. Mereka sukar mengawal emosi dan sering bertindak mengikut perasaan, bukannya berkomunikasi secara matang.
Contoh: Mendiamkan diri berhari-hari atau meletup marah atas perkara kecil.
Mengelak perbincangan serius
Topik seperti masa depan, kewangan, komitmen atau perkahwinan sering dielakkan. Mereka lebih selesa hidup dalam zon selesa tanpa perlu membuat perancangan jangka panjang.
Alasan tipikal: “Kenapa nak fikir jauh-jauh? Enjoy dulu.”
Perlu diingatkan seperti kanak-kanak
Janji mudah dilupakan, tanggungjawab kecil pun perlu diingatkan berulang kali.
Isunya: Ini bukan tentang terlupa sekali-sekala, tetapi corak berulang yang menunjukkan sikap tidak ambil peduli.
Utamakan keseronokan diri
Hobi, rakan dan kehendak sendiri sentiasa didahulukan berbanding keperluan pasangan atau hubungan. Kompromi dianggap sesuatu yang menyusahkan.
Kesannya: Pasangan merasa tidak dihargai dan sentiasa berada di tempat kedua.
Menolak kritikan & enggan berubah
Apabila ditegur, dia menjadi defensif atau memperlekehkan perasaan pasangan. Bagi manchild, kritikan adalah serangan, bukan peluang untuk berkembang.
