Menjadi single bukanlah sesuatu yang perlu diratapi.
Mari kita bercakap secara jujur. Pernah tak anda rasa setiap kali membuka media sosial, pasti ada sahaja gambar pasangan bercuti bersama, bertunang, berkahwin atau menyambut ulang tahun hubungan?
Belum lagi apabila berjumpa saudara-mara yang soalan pertamanya bukan lagi “Apa khabar?”, tetapi “EH! Bila nak kahwin?”
Lama-kelamaan, tanpa kita sedar, status single sering dikaitkan dengan kesunyian atau seolah-olah ada sesuatu yang masih belum lengkap dalam hidup.
Sedangkan realitinya tidak ya!

Tujuh kelebihan menjadi single yang mungkin anda tidak pernah sedar sebelum ini:
1. Anda bebas menentukan haluan hidup sendiri
Salah satu kelebihan terbesar menjadi single adalah kebebasan untuk membuat keputusan tanpa perlu mempertimbangkan jadual, komitmen atau perancangan orang lain. Yup! Sama ada mahu bertukar kerjaya, menyambung pengajian atau merancang percutian impian, segala keputusan berada di tangan anda.

2. Lebih banyak masa untuk mengenali diri sendiri
Dalam kesibukan kehidupan, ramai yang jarang meluangkan masa untuk memahami apa yang benar-benar mereka mahukan. Fasa single memberi peluang untuk mengenali nilai diri, minat, matlamat dan perkara yang membuatkan anda benar-benar bahagia.
3. Kewangan lebih terkawal
Tanpa komitmen seperti temu janji yang kerap, hadiah istimewa atau percutian berdua, anda mempunyai lebih banyak ruang untuk mengurus kewangan mengikut keutamaan sendiri. Wang tersebut boleh digunakan untuk simpanan, pelaburan atau memenuhi impian peribadi.

4. Hubungan dengan keluarga dan sahabat lebih erat
Apabila tidak terlalu fokus kepada hubungan romantik, anda mempunyai lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan.
5. Lebih fleksibel dalam mengejar impian
Ingin berpindah ke bandar lain? Mahu memulakan perniagaan sendiri? Atau mungkin bercadang mengembara ke beberapa negara dalam setahun? Menjadi single membolehkan anda bergerak lebih fleksibel tanpa perlu menyesuaikan rancangan dengan komitmen pasangan.

6. Kurang tekanan emosi yang tidak perlu
Walaupun hubungan yang sihat boleh membawa kebahagiaan, tidak dapat dinafikan bahawa hubungan romantik juga hadir dengan cabaran tersendiri. Menjadi single memberi ruang untuk menikmati ketenangan tanpa perlu berdepan konflik, salah faham atau drama hubungan.
7. Anda lebih bersedia apabila cinta itu tiba
Ironinya, ramai yang menemui hubungan yang lebih matang dan sihat selepas mereka benar-benar selesa dengan kehidupan sendiri. Apabila anda mengenali diri, memahami keutamaan hidup dan tahu apa yang dicari dalam pasangan, anda cenderung membuat pilihan yang lebih bijak apabila cinta akhirnya hadir.
