Merungkai persoalan mengenai Gangguan Spektrum Autism, kita perlu fahami dan teliti kondisi spektrum ini agar lebih mudah untuk menerima. EH! menemu bual dua selebriti, Zarina Zainuddin dan Hunny Madu, figura yang berpengalaman dalam menjaga anak autistik.
Diri sendiri sahaja sudah mencabar, apatah lagi yang menjaga anak autistik harus mempunyai tahap kesabaran serta pemahaman yang tinggi akan autism ini. Autism adalah gangguan perkembangan neuro sepanjang hayat. Ini bermakna, autism memberi kesan kepada perkembangan otak dan mempengaruhi keupayaan individu untuk berkomunikasi, berinteraksi secara sosial dan belajar seperti anak biasa.
Autism juga didefinisikan oleh tingkah laku tertentu dan merupakan “kondisi spektrum” yang mempengaruhi seseorang secara berbeza dan pada tahap yang berlainan. Setiap orang yang menghidap autism mempunyai kekuatan dan cabaran yang berbeza. Sebilangan individu di dalam spektrum ini mungkin memerlukan sokongan yang signifikan dalam kehidupan seharian mereka, sementara yang lain mungkin memerlukan sokongan lebih sedikit dan dalam beberapa kes, mereka mampu hidup sepenuhnya secara berdikari.
Kali ini, kami berpeluang untuk temu bual selebriti yang berpengalaman dalam dunia autism, Zarina Zainuddin dan Hunny Madu. EH! mengupas isu ini untuk anda lebih memahami baik anda yang menjaga anak autistik ataupun keliling anda.
Ciri-Ciri Autism
Autism memberi kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan penghidapnya. Simptom yang dialami oleh seorang kanak-kanak mungkin berbeza dengan yang lain. Isu sosial adalah masalah lazim yang dialami oleh kanak-kanak autistik. Ini memberi impak besar serta merencatkan kehidupan seharian mereka.
Masalah sosial yang mungkin akan dialami oleh kanak-kanak autistik ialah tidak suka berkongsi minat, tidak memahami konsep ‘personal space‘, tidak gemar atau mengelak sentuhan fizikal, sukar untuk dipujuk dan berkomunikasi hanya untuk mencapai matlamat yang dikehendaki.
Berikut pula merupakan ciri-ciri yang terdapat pada anak-anak lelaki Zarina, Azal dan Azil
Zarina Zainuddin:
– Mengelak bertentangan mata dengan orang sekeliling
– Lebih berdisplin pada waktu dan jadual hariannya
– Lebih rapat dengan ibu bapanya
– Tantrum jika tidak dapat apa yang dikehendakinya
– Lebih setia pada orang yang dia percaya
Tanda awal Autism
Autism mempengaruhi perkembangan dan kemampuan seseorang untuk menyesuaikan diri sepanjang hayat. Walau bagaimanapun, penyelidikan menunjukkan bahawa diagnosis awal dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.
Berikut adalah beberapa tanda yang perlu diperhatikan.
– Mengelak bertentang mata ketika berbual dan gemar berseorangan.
– Suka mengulang sesuatu perkataan atau ayat.
– Memberi jawapan berbeza daripada soalan yang diajukan.
– Sukar untuk memahami perasaan orang lain atau meluahkan perasaan sendiri.
– Perubahan terhadap persekitaran akan menyebabkan mereka cepat marah.
– Taksub terhadap sesuatu perkara.
Bagi anak-anak Zarina, beliau mula perasan tanda awal kejadian autism apabila:
Zarina Zainudin: Anak saya menjadi amat lasak dan suka hantukkan kepalanya pada lantai jika tak suka akan sesuatu itu. Mereka juga sukar untuk melakukan ‘eye contact‘ dengan orang sekeliling mereka.
Mitos tentang Autism
Kadang kala, banyak berita yang disebarkan di laman sosial membuatkan orang percaya bulat-bulat walaupun benda itu tidak benar. Begitu juga dengan Autism. Berikut ialah mitos mengenai autism yang mungkin anda percaya selama ini.
– Gangguan spektrum autism adalah gangguan jiwa
– Semua individu autistik memiliki ciri yang sama
– Autism disebabkan oleh vaksinasi
– Autism boleh sembuh
Apakah Punca autism dan faktor risikonya?
Berikut ialah jawapan daripada Hunny Madu tentang anak lelakinya, Adam Musa.
Hunny Madu: Tiada sipa tahu punca sebenar autism, tetapi menurut kajian saintifik, ia mungkin faktor genetik atau kromosom yang terkesan. Ada juga kajian menyatakan faktor persekitaran.
Faktor risikonya tidak boleh diketahui ketika ibu mengandung walaupun pelbagai ujian telah dilakukan.
Autism kini dianggap seperti golongan yang berfikir secara berbeza kerana otak individu autistik ini berfungsi dengan cara yang berbeza daripada normal.
Tip penjagaan anak autistik
Hunny Madu: Sentiasa ambil tahu tentang perkembangan kecil dan besar anak autistik. Anak saya Adam Musa, kini lebih ‘verbal’ setelah ke pusat autism dan diberi EIP dan kelas membaca tetapi masih tidak lagi pandai bersosial dengan rakan-rakan atau membuat kawan baru.
Adam juga sangat rapat dengan saya, dan kadang-kala menunjukkan ‘temper’ apabila saya bermain dengan anak bongsu saya. Adam mahu bergurau tetapi caranya kasar dan kadang-kala nampak seperti membuli rakan-rakan lain, namun dalam pada yang sama nadanya halus.
Sukar untuk memberi tip bagi penjagaan anak autistik kerana semuanya berbeza, tetapi tip yang paling penting ialah, sabar dan tempuhi hari ke hari dengan perasaan bersyukur dan redha.
Autism kini dianggap seperti golongan yang berfikir secara berbeza kerana otak individu autistik ini berfungsi dengan cara yang berbeza daripada normal.