Tentunya anda ada terserempak dengan pepohon rimbun di tepi jalan yang sarat dengan kuntuman bunga mekar seolah negara kita sedang melalui musim bunga. Bukan hanya di Kedah yang menyaksikan pohon Tecoma atau Tabebuia Rosea atau lebih dikenali sebagai Trumpet Tree yang menghasilkan fenomena bunga yang mekar serentak awal April ini tetapi juga boleh dilihat hampir diseluruh negara berlaku “pesta bunga” ini terutama pada pokok-pokok penghadang angin dan pengias landskap. Fenomena yang sama turut dirasai oleh penduduk di Parit Buntar dengan pohon semarak yang berbunga lebat di tepi jalan serta di sekitar Pulau Pinang dan juga di Seberang Prai, Johor Bahru, Melaka dan sekitar Selangor.
Menurut arkitek lanskap yang dihubungi EH!, faktor cuaca memainkan peranan besar dalam fenomena ini iaitu cuaca panas yang melampau pada waktu siang dan cuaca sejuk yang melampau pada waktu malam baru-baru ini telah memberi kesan pada tumbuhan secara langsung.
Iklim tropika Malaysia tiada musim tertentu bagi pokok untuk berbunga rimbun sepertimana kita dapat lihat di Jepun, Korea, Belanda, Turki dan Amerika Syarikat ketika musim bunga. Faktor cuaca yang tidak menentu telah menghadiahkan kita dengan fenomena ini yang sekurang-kurangnya membuatkan kita berasa seolah berada dalam musim bunga yang sedang dialami di hemisfera utara pada masa yang sama. Dan tempoh mekar yang singkat iaity hanya beberapa minggu menyaksikan laman atau tanah dibawahnya akan dipenuhi dengan hamparan bunga yang gugur.
EH! kongsi beberapa foto yang dirakam sendiri team EH! termasuk pohon Yellow Flame yang berbunga lebat di sekitar, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam serta rimbun kuning Golden Shower Tree di Banting dan rimbun bunga merah jambu di pinggir pantai Morib.
Pohon Yellow Flame yang rendang dan sedang lebat berbunga.
Pohon Golden Shower yang menyerikan lanskap di bandar Banting, Selangor.
Seolah sakura berkembang di Korea, ini adalah foto yang dirakam berdekatan pantai Morib, Selangor.