Warisan lama diberi nafas baharu menerusi sajian Peranakan, minuman berinspirasikan tempatan dan pengalaman misteri yang membawa tetamu kembali ke suasana Malaya era 1930-an.
Sempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia, The Chow Kit mengajak kita mengimbau kembali kisah, rasa dan tradisi Malaya menerusi kempen ‘Old Trades, New Tales’.
Bukan sekadar menghidangkan nostalgia di atas pinggan, kempen ini menggabungkan makanan, budaya dan pengalaman interaktif untuk menghidupkan semula warisan yang dekat dengan identiti Malaysia.
Rasa Baba-Nyonya, Sentuhan Kontemporari
Antara tarikan utama ialah menu istimewa berinspirasikan Peranakan di The Chow Kit Kitchen & Bar, yang berlangsung dari 17 Ogos hingga 30 September.
Hidangan klasik Baba-Nyonya seperti Kerabu Pucuk Paku, Nyonya Chap Chye, Ayam Pongteh, Ikan Assam Pedas Nyonya, Kuih Kosui dan Bubur Cha Cha diberi sentuhan kontemporari, namun masih mengekalkan daya tarikan rasa tradisi.
Untuk pengalaman yang lebih meriah, hidangan ini turut boleh dinikmati dalam bentuk sharing platter pada harga RM180++ untuk dua orang, sesuai untuk dikongsi sambil menikmati kemeriahan meja makan, satu tradisi yang sememangnya sinonim dengan budaya kita.
Hidangan tersebut turut ditemani pilihan minuman yang mengambil inspirasi daripada cita rasa tempatan. Antaranya Bunga Raya Sour dan Straits Spice Trade, selain pilihan tanpa alkohol seperti Nyonya Lemonade dan Air Mata Kucing.
Menariknya, pengunjung yang hadir dalam busana Peranakan asli atau berinspirasikan Peranakan, termasuk kebaya, baju panjang, batik Nyonya, songket atau pakaian formal Baba, akan menerima segelas minuman rumah secara percuma, tertakluk pada terma dan syarat.
Bila Makan Malam Bertukar Jadi Misteri
Jika menikmati makanan sahaja belum cukup mengujakan, The Chow Kit turut bekerjasama dengan Krate dari Melakauntuk menghadirkan pengalaman murder mystery berjudul ‘A Chef’s Confession’.
Berlangsung pada 5 dan 6 September, pengalaman ini membawa tetamu kembali ke Malaya era 1930-an, ketika hidangan Peranakan menjadi latar kepada kisah penuh watak mencurigakan, motif tersembunyi dan rahsia yang menunggu untuk dibongkar.
Pengalaman bermula dengan jamuan Peranakan secara berkongsi sebelum tetamu dibahagikan kepada kumpulan kecil. Dari situ, permainan bermula, bertemu watak-watak tertentu, mencari petunjuk dan mengumpulkan bukti untuk merungkai misteri.
Tak perlu risau jika anda bukan jenis yang gemar berlakon. Tetamu boleh memilih untuk menghayati watak dan bermain secara penuh, atau sekadar menjadi pemerhati sambil mengikuti jalan cerita yang semakin mencurigakan.
Dengan rahsia yang tersimpan di sebalik sutera dan kilauan perak, setiap tetamu berpotensi menjadi sebahagian daripada cerita. Dan dalam permainan ini, satu petunjuk kecil mungkin menjadi kunci untuk membongkar kebenaran.
Buat pencinta makanan dan mereka yang gemarkan pengalaman luar biasa, inilah peluang untuk menyambut semangat Merdeka dan Hari Malaysia dengan cara yang sedikit berbeza, melalui rasa lama, cerita baharu dan sebuah perjalanan kembali ke Malaya yang penuh misteri.
Peranakan Menu
17 Ogos – 30 September 2026 | All-day dining
Tempahan: WhatsApp atau telefon +603 2778 6688.
A Chef’s Confession
5 & 6 September 2026
Tiket tersedia melalui borang pendaftaran.





