Pasangan ini buktikan tiada yang mustahil dalam hidup ini. Kembara dari Malaysia ke London hanya dengan menunggang motorsikal. EH! kongsikan gambar kembara mereka di rencana ini.
‘Kita hidup hanya sekali’ adalah mungkin kata-kata inspirasi yang tertanam di dalam jiwa pasangan ini sebelum mereka memulakan kembara ini. Diana Latif dan suaminya, Mohd Alfishahrin berjaya mengelilingi dunia dengan hanya menunggang motosikal. Ketika ini, pasangan ini dikatakan sedang menuju ke Greece.
Menurut laporan Cosmopolitan, Diana dan suaminya akui yang mereka sememangnya gemar mengembara, apatah lagi suaminya yang banyak idea-idea yang cukup mencabar terutamanya mengembara dengan menunggang motor ‘kapcai’.
Tahun lalu suaminya pernah mengikuti misi kembara menunggang motor ke tujuh negara sempadan Malaysia iaitu Thailand, Myanmar, Laos, China, Kemboja, Vietnam dan Singapura.
“Untuk tahun ini, idea gila ini tercetus dengan menyokong aktiviti belia benci dadah. Misi menunggang motor dengan pillion (kerusi dan kotak ruang penyimpanan di belakang penunggang) ke London kami usulkan kepada PEMADAM Selangor (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia). Alhamdulillah PEMADAM setuju menaja sebahagian kos sambil mempromosikan organisasi itu. Kos selebihnya adalah duit kami sendiri,” jelas Diana.
Jarang kita dengar di Malaysia, seseorang berhenti bekerja untuk pergi mengembara, tidak seperti ramai pengembara luar negara yang berani berbuat sedemikian selepas bertahun-tahun mengumpul wang demi untuk mengelilingi dunia. Tetapi pasangan Diana dan suaminya berani bertindak sedemikian kerana tidak dapat cuti tanpa gaji. Namun, dengan azam dan minat yang kuat, mereka bertungkus lumus mencari dana menjayakan misi ini.
“Kos belanja untuk misi :sebahagian daripada PEMADAM Selangor. Selebihnya kami juga menjual baju T dan stiker kapcai packers untuk kumpul dana. Kami juga menambah dana dengan duit simpanan kami serta duit hantaran kahwin. Oleh kerana misi ini mempunyai jarak yang sangat jauh, kami mendapat beberapa tajaan seperti dari GIVI Malaysia untuk aksesori motor, persediaan kembara daripada MyBikerz dan banyak lagi. Setakat ini, kami telah berhabis RM20,000 untuk sampai ke Greece,” terang Diana.
Misi kembara Diana dan suaminya itu bermula dari Batu Caves dan kemudian memasuki Thailand, Nepal, India, Pakistan, Iran, Armenia, Georgia, Turki dan Greece. Mereka mempunyai lebih dari 10 buah negara lagi yang akan mereka tuju sebelum sampai ke destinasi terakhir iaitu London, United Kingdom.
Antara 10 buah negara itu adalah Albania, Itali, Montenegro, Bosnia, Croatia, Austria, Switzerland, Jerman, Belgium, Belanda dan Perancis.
Berkongsi tentang momen yang tidak boleh dilupakannya setakat pengembaraan ini, Diana menyatakan, “Momen yang paling mengharukan adalah semasa kami berjaya menaiki jalan motor paling tinggi di dunia iaitu di Khardung La, India. Kemudian, berjaya meredah jalan paling bahaya di Rohtang Pass. Momen yang paling menakutkan adalah ketika melalui ChangLa Pass dan TangLa Pass di India dalam keadaan cuaca sejuk paras beku termasuk ribut salji. Kami berhenti setiap tiga minit untuk bersihkan visor helmet kerana salji yang banyak. Yang paling mengujakan pabila melalui jambatan pemisah antara benua Asia dan Eropah. Begitu juga meredah padang pasir dengan suhu panas mencecah 50 darjah celsius serta ribut yang kuat.”
Nasihatnya buat mereka yang mahu mencuba misi sebegini, yang paling penting adalah mental perlu kuat.
“Hidup hanya sekali dan kita perlu mencuba serta menunaikan impian selagi ada peluang,” katanya.
Meskipun merindukan keluarga serta makanan di Malaysia, pasangan ini merasakan yang misi ini sedikit sebanyak mengajar mereka erti berdikari dan keluar dari comfort zone kehidupan masa kini.
EH! kongsikan beberapa keping gambar pasangan ini mengembara ke Eropah.
Gambar dan sumber : Cosmopolitan.my