Berita baik untuk kaki travel! Pasport Malaysia kini berada di tangga kedua dunia dalam The Passport Index Global Ranking 2026, berkongsi kedudukan bersama Singapura. Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula menduduki tempat pertama.
Kalau ada satu benda yang rakyat Malaysia patut bangga ketika merancang percutian ke luar negara, mungkin salah satunya ialah pasport kita. Dalam The Passport Index Global Ranking 2026, pasport Malaysia berada di tangga kedua dunia, berkongsi kedudukan bersama Singapura, dengan akses ke 175 destinasi di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, 129 destinasi boleh dimasuki tanpa visa, manakala 46 lagi menawarkan visa semasa ketibaan.
Bagi kaki travel, angka ini ibarat lesen untuk mengembangkan lagi travel bucket list. Tak perlu pening memikirkan proses permohonan visa untuk setiap perjalanan, sebaliknya boleh terus fokus kepada pemilihan hotel, kafe yang wajib singgah dan sudah tentu, outfit apa yang hendak dibawa.
Jadi, kalau anda sedang mencari inspirasi untuk percutian seterusnya, ini antara negara yang boleh dimasukkan dalam senarai.
1. Indonesia
Kalau mahukan short getaway tanpa perlu merancang terlalu lama, Indonesia antara destinasi terbaik pilihan ramai rakyat malaysia. Daripada hiruk-pikuk Jakarta, suasana santai di Bali hinggalah deretan kafe dan destinasi alam yang menarik, negara jiran ini sentiasa ada sesuatu untuk diterokai. Lebih menarik, rakyat Malaysia boleh melancong ke Indonesia tanpa visa sehingga 30 hari. Jadi, kalau tiba-tiba rasa mahu bercuti dan tak mahu ambil cuti terlalu panjang, Indonesia boleh jadi pilihan yang ideal.
2. Thailand
Food hunting, café hopping, shopping atau sekadar mahu berehat di tepi pantai dan switch off daripada kesibukan kerja, Thailand memang antara destinasi kegemaran rakyat Malaysia. Bangkok, Chiang Mai serta Phuket, masing-masing menawarkan pengalaman yang berbeza. Sebab itu, tak kira sama ada mahukan percutian singkat, city escape atau beach getaway, Thailand sentiasa ada sesuatu untuk semua.
3. Vietnam
Selain Indonesia dan Thailand, Vietnam juga antara destinasi yang sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia. Dengan pilihan bandar seperti Ho Chi Minh City, Hanoi dan Da Nang, setiap satunya menawarkan pengalaman yang berbeza tidak kira dari segi makanan, seni bina serta budaya dan ditambah pula dengan kos percutian yang relatif berpatutan, Vietnam sesuai untuk mereka yang mahukan pengalaman baharu tanpa perlu pergi terlalu jauh.
4. China
Sejak kemudahan kemasukan tanpa visa diperkenalkan untuk rakyat Malaysia, China semakin menjadi pilihan untuk percutian. Dengan bajet yang masih boleh dirancang mengikut kemampuan, ramai memilih negara ini untuk menikmati pengalaman empat musim tanpa perlu berbelanja terlalu tinggi. Daripada menikmati musim bunga di Shanghai, melihat warna-warni musim luruh di Beijing hinggalah bermain salji di Harbin, China menawarkan pengalaman berbeza pada setiap musim.
5. Jepun
Jepun antara destinasi yang sentiasa mempunyai peminat dalam kalangan rakyat Malaysia, tak kira apa jua musim. Setiap musim menawarkan pengalaman yang berbeza. Ditambah pula dengan makanan, budaya dan pemandangan yang menarik, memang tak hairanlah ramai sanggup kembali ke Jepun berkali-kali.
6. Turki
Kalau mahukan gabungan vibe Asia dan Eropah, apa salahnya terbang sedikit jauh ke Istanbul. Bandar ini menawarkan pengalaman yang unik dengan budaya, sejarah, seni bina dan makanan yang dipengaruhi kedua-dua benua. Kalau masa mengizinkan, perjalanan boleh diteruskan ke Cappadocia untuk menaiki belon udara panas. Rakyat Malaysia juga boleh memasuki Türkiye tanpa visa sehingga 90 hari, menjadikannya pilihan menarik untuk percutian yang lebih panjang.
7. Korea Selatan
Seoul sememangnya menjadi pilihan ramai, lebih-lebih lagi buat pencinta K-pop dan K-drama. Tetapi kalau sudah penat dengan kesibukak kota seperti seoul apa kata lari seketika ke Busan atau Jeju untuk menikmati suasana yang lebih santai. Rakyat Malaysia juga boleh melancong ke Korea Selatan tanpa visa untuk lawatan singkat. Sebelum berangkat, anda hanya perlu melengkapkan permohonan K-ETA mengikut syarat kemasukan semasa. Jadi, Korea Selatan memang mudah dimasukkan dalam senarai percutian seterusnya.
8. Kazakhstan
Kalau mahu keluar sedikit daripada laluan percutian yang biasa, apa kata cuba Kazakhstan. Negara ini menawarkan gabungan kehidupan bandar dan keindahan alam semula jadi. Menariknya, Kazakhstan juga boleh diterokai dengan bajet yang lebih rendah berbanding sesetengah destinasi lain. Rakyat Malaysia boleh memasuki Kazakhstan tanpa visa sehingga 30 hari, jadi ia boleh menjadi pilihan menarik untuk anda yang mahukan pengalaman percutian yang sedikit berbeza.
9. Eropah
Kalau ada bajet lebih dan mahu melangkah lebih jauh, apa kata terokai negara-negara Schengen seperti Perancis, Itali, Sepanyol, Switzerland dan banyak lagi. Menariknya, pemegang pasport Malaysia boleh melancong tanpa visa ke 29 negara di kawasan Schengen untuk lawatan singkat, sekali gus memudahkan anda merancang perjalanan merentasi beberapa negara dalam satu trip.
10. Greece
Ya, Greece juga merupakan sebahagian daripada kawasan Schengen, tetapi negara ini sememangnya mempunyai tarikan tersendiri. Apa kata terbang ke sini dan cuba pengalaman island hopping merentasi pulau-pulau cantik yang ada di Greece. Dengan kemasukan tanpa visa sehingga 90 hari bagi pemegang pasport Malaysia, anda mempunyai lebih banyak masa untuk meneroka Greece mengikut rentak sendiri. Dengan lebih 167 pulau yang boleh diterokai, memang banyak pilihan untuk mencipta itinerari percutian yang berbeza.
Artikel Berkaitan: Pertama Kali di Malaysia, Charlie and The Chocolate Factory Is Here!






























