Peningkatan kos sara hidup yang tinggi mendesak penjimatan dalam berbelanja. Bagi yang bekerja, kos ke tempat kerja setiap hari juga turut membebankan.
Ikuti penjimatan maksimum yang boleh diamalkan bagi meringankan sedikit beban kewangan anda.
Petrol Kenderaan
Sekiranya anda memandu kereta ke pejabat, anda boleh menjimatkan petrol pada kadar maksimum dengan mengurangkan kelajuan, mengurangkan beban di dalam bonet kereta dan mematikan enjin kereta apabila memberhentikan kenderaan. Mungkin tampak remeh tetapi ia sebenarnya mampu menjimatkan penggunaan petrol!
Kurangkan Tol
Rancang perjalanan ke destinasi yang ingin ditujui. Adalah lebih jimat sekiranya anda menggunakan laluan tanpa tol ke mana-mana sahaja tetapi pastikan terlebih dahulu destinasi yang ditujui itu tidak terlalu jauh dan masih berbaloi untuk digunakan.
Mesin Teler Automatik a.k.a ATM
Tips ini mungkin kedengaran mudah tetapi masih terdapat pengguna yang ‘tidak berkira’ dengan caj dikenakan sekiranya menggunakan ATM berlainan bank. Menggunakan ATM mengikut bank pengeluar sebenarnya sangat menjimatkan. Mungkin ramai yang tidak sedar kerana caj berlaku melalui penolakan baki di dalam akaun, bukan secara tunai.
Beli Barang Secara Pukal
Membeli barang secara pukal atau borong sebenarnya sangat menjimatkan. Bukan saja membeli pada harga lebih rendah, malah anda boleh mendapat kupon percuma atau point yang boleh digunakan untuk pembelian seterusnya.