Melayari bahtera perkahwinan datang dengan cabaran yang tersendiri. Hidup dengan seseorang itu bukan mudah kerana saban hari akan ada sahaja hal baru yang kita pelajari tentang mereka, dan hal-hal baru ini ada baik dan ada buruknya. Ada saatnya manis bagaikan gula, ada masa masam mencuka. Kami kongsikan beberapa tip untuk menghangatkan kembali hubungan saat anda mula menyedari kemesraan semakin dingin.
Perkahwinan yang bahagia memerlukan komitmen dan dedikasi daripada kedua-dua pihak. Ia boleh membebankan dari segi emosi dalam mengimbangi kerjaya masing-masing, membesarkan anak atau mengurus hal kewangan. Apabila masalah perkahwinan timbul, amat penting untuk menanganinya dengan segera jika ingin kekal bersama pasangan anda dalam hubungan yang sihat. Di sini, EH! Kongsikan 5 tip bagi membantu anda menyelamatkan rumah tangga yang mula dingin.
1. Komunikasi adalah kunci perhubungan
Apabila bercakap tentang komunikasi, semua orang reti untuk berkomunuikasi tetapi, cara itu yang memberi kelainan. Jika pasangan anda ingin meluahkan perasaan, menceritakan apa terjadi atau apa-apa berkenaan dengannya, tolak semua ke tepi dan fokus terhadap pasangan anda. Komunikasi dalam masalah pasangan anda bukan dengan memberi pendapat serta merta, tetapi dengar dan berkata bahawa anda akan selalu ada bersamanya. Apabila sudah reda, barulah anda bertanya jika si dia ingin pendapat daripada anda. Lihat dua perbezaan cara berkomunikasi? Ia sebenarnya amat mudah jadi belajarlah cara yang betul agar perkahwinan anda bahagia.
2. Bertindak, bukan hanya kata-kata
Berkata-kata tanpa tindakan hanya akan merosakkan hubungan anda bersama pasangan. Apabila hendak melakukan sesuatu tetapi tidak pasti ia akan menjadi ataupun tidak, jangan keluarkan kata-kata yang membuatkan pasangan anda percaya dan menunggu. Contohnya seperti anda janji dengan kata-kata untuk membeli sesuatu untuk si dia tetapi apabila pulang, tiada pun benda itu. Perkara itu akan membuatkan pasangan anda sukar untuk percaya anda terus menimbulakn masalah kepercayaan terhadap pasangan.
3. Mengetahui perbezaan antara kualiti dan kuantiti
Mungkin anda dan pasangan menghabiskan banyak masa bersama, tetapi adakah anda menghabiskan masa berkualiti bersama? Kuantiti hanyalah satu jumlah di mana anda menghabiskan banyak masa bersama-sama melakukan perkara seperti membeli barang dapur, membeli belah dan bermain aktiviti luar.
Tetapi masa berkualiti adalah sesuatu yang lebih bermakna. Luangkan masa untuk mengenali pasangan anda, apa yang mereka inginkan, apa impian mereka. Contohnya, ketahui butiran seperti lagu kegemaran, perkara yang diminati, perkara yang membuatkan mereka ketawa dan pengalaman paling menyakitkan atau menggembirakan mereka. Soalan yang lebih mendalam semestinya boleh dimasukkan juga. Contohnya seperti, apakah love language pasangan anda? Apakah keinginan terdalam mereka? Apa yang membuatkan mereka berasa disayangi? Dengan melakukan perkara ini, pasangan anda pasti akan rasa gembira kerana anda benar-benar mengambil berat tentang hubungan itu.
4. Dapatkan kaunseling
Kaunseling untuk pasangan adalah satu bentuk terapi yang direka untuk memperbaiki dan menyelesaikan isu-isu dalam hubungan. Apabila hadir ke kaunseling, kaunselor akan meminta anda melakukan ‘tugasan rumah’, sama anda melakukan tugasan tertentu atau berbincang mengenai perkara yang spesifik di rumah. Apabila tiba sesi seterusnya, anda akan dapat bercakap mengenai tugasan yang diberikan, berbincang mengenai cabaran yang anda hadapi dan apa yang anda dan pasangan rasai ketika menyelesaikan tugasan tersebut. Tidak semua ingin orang lain campur tangan dalam perkahwinan, tetapi apa salahnya cuba agar dapat mengeratkan hubungan anda bersama pasangan.
5. Mengingati saat jatuh cinta
Akhir sekali, apapun terjadi, Ingatlah waktu anda bercinta dahulu. Ingat dan tulis beberapa sifat pasangan anda yang menarik anda kepadanya semasa anda mula bercinta. Kadang-kadang mengingati apa yang menyatukan anda selama bertahun-tahun lalu boleh menyatukan anda sekali lagi. Perkahwinan adalah menakjubkan, tetapi ia datang dengan kerja keras. Setiap hubungan pasti akan masalah, tetapi cara anda bekerjasama untuk mengatasi masalah anda adalah perbezaan besar antara perkahwinan yang gagal dan perkahwinan yang berjaya.