Oleh: Izni Jalil
Gambar: INGimage
Kadangkala, penyakit biasa yang kita alami dipandang ringan kerana beranggapan ia tidak merbahaya. Namun, ketahuilah jika penyakit biasa itu dibiarkan tanpa rawatan, ia mampu untuk berubah menjadi lebih serius.
Migrain dan strok
Secara spesifiknya, tiada kajian yang menunjukkan migrain boleh menyebabkan strok. Namun, kemungkinan untuk anda mengalaminya adalah tinggi bilamana migrain seakan sudah sebati dalam hidup dan anda diserang sakit kepala ini dengan kerap.
Perkaitannya
Jika anda secara tiba-tiba diserang sakit kepala yang kronik, hilang penglihatan sebelah mata dan lemah serta lumpuh seketika pada sebelah badan, dapatkan rawatan dengan segera. Ia boleh jadi migrain, ataupun strok!
Individu yang sering menghidapi migrain mempunyai kemungkinan yang tinggi diserang strok akibat darah beku. Ketahuilah hakikat bahawa wanita lebih mudah diserang migrain dek kerana perubahan hormon yang ketara berbanding lelaki.
Potensi untuk terkena strok lebih tinggi jika anda:
– Merokok
– Mengambil pil perancang kehamilan
– Berusia kurang daripada 45 tahun
Hidup cara sihat
Mula ubah cara hidup yang lebih sihat bagi mengelakkan migrain dan strok. Antara langkah yang perlu diambil:
– Jika merokok, berhentilah
– Kawal tekanan darah kerana darah tinggi adalah punca utama strok. Ubah cara pemakanan dan senaman selain mengamalkan ubatan yang dinasihatkan doktor
– Hati-hati dengan paras kolestrol anda
– Cuba cara lain dan berbincang dengan doktor untuk mengelakkan daripada amalan pil perancang kehamilan