Bila tiba bulan Ogos, bukan sahaja Jalur Gemilang mula menghiasi setiap sudut, malah deretan promosi makanan dan minuman turut mencuri perhatian. Sempena Hari Kebangsaan ke-69, pelbagai jenama F&B di Malaysia tampil dengan tawaran istimewa, menu edisi terhad serta hidangan yang mengangkat citarasa tempatan dalam cara yang lebih kreatif dan tawaran harga yang lebih menarik.
Jika anda masih tercari-cari idea untuk mengisi masa pada 31 Ogos 2026, apa kata raikan Hari Kemerdekaan dengan food hunting bersama keluarga atau teman tersayang? Mana tahu, bukan sahaja dapat menikmati hidangan lazat, malah boleh juga berjimat dengan tawaran menarik yang tersedia. Jom, EH! senaraikan 10 promo F&B yang wajib anda ‘hunt’ sempena Merdeka tahun ini!
1. Burger King
Kalau anda peminat burger ini antara promosi yang paling menarik untuk ditanda dalam kalendar. Pada 31 Ogos 2026 sahaja, Burger King Malaysia menawarkan WHOPPER® pada harga RM6.90 sempena Hari Kebangsaan ke-69. Tawaran ini menggunakan angka RM6.90 sebagai simbolik kepada sambutan Merdeka yang ke-69. Selain WHOPPER®, Burger King turut menampilkan sentuhan tempatan menerusi Kaya Pandan Pie, yang sesuai untuk mereka yang mahu mencuba sesuatu manis selepas menikmati burger.

2. Gigi Coffee
Coffee run sempena Merdeka? Gigi Coffee menawarkan 31% diskaun untuk semua minuman dari 15 Ogos hingga 1 September 2026. Promosi ini boleh dinikmati di outlet terlibat serta melalui Gigi Coffee App. Memandangkan promosi berlangsung sehingga selepas Hari Kebangsaan, anda masih mempunyai sedikit masa untuk menikmati kopi atau minuman kegemaran dengan harga lebih rendah.

3. Gong cha
Buat peminat bubble tea, Gong cha turut meraikan Merdeka dan Malaysia Day menerusi kempen NikmaTea Kemerdekaan. Nikmati 69% OFF untuk minuman Winter Melon kedua pada 29 hingga 31 Ogos, sebelum tawaran yang sama kembali sempena Malaysia Day pada 16 hingga 18 September 2026. Promosi ini adalah untuk walk-in sahaja dan diskaun tidak boleh digabungkan dengan promosi lain. Memang sesuai untuk ajak kawan atau pasangan kerana lebih seronok menikmati dua minuman bersama.

4. IPPUDO
Siapa sangka makan ramen pun boleh dapat minuman pada harga RM1? Sempena Merdeka, IPPUDO Malaysia menawarkan Coca-Cola pada harga hanya RM1 apabila pelanggan memesan mana-mana Special Ramen. Tawaran ini sah dari 24 hingga 31 Ogos 2026 dan tersedia di semua outlet IPPUDO Malaysia. Bagi yang ingin mencuba, jangan lupa ambil perhatian bahawa IPPUDO Malaysia adalah restoran tidak halal.

5. The Chicken Rice Shop
Kalau mahu rasa lebih ‘Malaysia’ The Chicken Rice Shop menawarkan Combo Local Lah pada RM16.90. Set ini merangkumi Crispy Roast Chicken Rice, minuman ringan serta pilihan Penang Rojak atau Keropok Lekor. Gabungan ini memang cukup menggambarkan selera tempatan daripada nasi ayam yang familiar hinggalah kudapan klasik seperti rojak dan keropok lekor.

6. Starbucks
Mahu coffee date dengan harga mesra poket? Starbucks menawarkan minuman terpilih pada RM9.90 setiap hari Rabu sepanjang Ogos. Antara pilihan yang diketengahkan ialah Asian Dolce Latte, Kopi Kaw Kaw dan Ais Kepal Frappuccino. Menariknya, pilihan minuman turut mengetengahkan elemen rasa Asia dan tempatan, sesuai dengan mood Merdeka.

7. Madam Kwan’s
Untuk yang mahu makan bersama keluarga atau tersayang Merdeka Platter For 2 daripada Madam Kwan’s hadir dengan pelbagai hidangan yang sinonim dengan citarasa Malaysia. Platter berharga RM65.80++ ini merangkumi antaranya rendang, satay, kari dan sambal, serta didatangkan bersama dua Coca-Cola Rasa Asli percuma. Dengan konsep hidangan berkongsi, ia sesuai untuk mereka yang mahu menikmati lebih banyak variasi dalam satu pesanan.

8. Salad Atelier
Mahu pilihan yang sedikit lebih ringan? Salad Atelier turut meraikan Merdeka ke-69 dengan promosi istimewa. Antara yang ditawarkan ialah SA Chicken Rice pada harga RM6.90, manakala Shoyu Salmon Poke berharga RM16.90. Promosi ini berlangsung sehingga 31 Ogos 2026. Harga RM6.90 itu sendiri cukup menarik, terutama untuk mereka yang mencari pilihan makan tengah hari yang lebih berpatutan.

9. Shihlin Taiwan Street Food
Merdeka kali ini, Shihlin Taiwan Street Food memberikan sentuhan Malaysia pada menu mereka menerusi Shiok Satay Chicken Bites. Tiga cucuk ayam rangup bersama sos satay ditawarkan pada harga RM14.90, dan promosi ini berlangsung dari 14 Ogos hingga 30 September 2026. Kalau anda jenis suka menu fusion yang menggabungkan citarasa tempatan dengan konsep street food, ini antara yang boleh masuk dalam senarai.

10. emart24
Mahu tukar selera daripada makanan tempatan kepada Korean food? emart24 turut menyambut Merdeka menerusi kempen Seoul-lamat Hari Merdeka, dengan 31% diskaun untuk pilihan makanan dan minuman Korea dari 12 hingga 31 Ogos 2026. Tawaran boleh dinikmati di kedai atau melalui aplikasi. Dalam masa yang sama, emart24 turut memperkenalkan minuman bertemakan Mer-Daebak Flavours seperti Iced Cham Kaw dan Chokopi Kaw, dengan harga pengenalan bermula RM5.50 dan tersedia sehingga 16 September.

Artikel Berkaitan: Selebriti Malaysia yang Lahir Bulan Ogos
