Setiap penyakit ada penawarnya. Begitulah juga bagi anda yang sudah bertemu ‘jalan pulang’. Cuba ilham yang dicadangkan berikut. Moga-moga tabiat gila membeli sembuh.
Jauhi rakan beli-belah
Pabila rakan-rakan anda yang mempunyai tabiat membeli serupa dengan anda mengajak ke pusat beli-belah, tolak ajakan mereka dengan baik. Potensi anda akan terjerat dengan pujukan membeli sangat tinggi.
Elak Pergi Ke Gedung Beli-belah
Pabila tiba hujung minggu, pusat beli-belah bukan lagi destinasi pilihan menghabiskan masa senggang. Senaraikan perkara yang anda tidak suka pabila berada di pusat beli-belah. Misalnya, sukar mencari parkir kereta, ramai orang, kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Perkara-perkara ini mungkin akan membantutkan keinginan anda ke sana.
Katakan Tidak Pada Online Shopping
Usah layari laman-laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan beli-belah menerusi Internet. Jangan berlama-lama di hadapan komputer kerana bimbang jari jemari anda tertekan alamat laman sesawang beli-belah online yang sememangnya sudah tersimpan sebagai ‘favourite’ di dalam data komputer peribadi anda.
Kemas Kini Almari
Sementelah anda tidak lagi menghabiskan cuti hujung minggu dengan membeli-belah atau window shopping, apa kata anda kemas kini isi almari. Disebabkan sifat suka membeli sebelum ini, tentu banyak helaian perlu disusun. Mungkin dengan mengemas kini pakaian, anda akan lebih menghargai apa yang ada. Mungkin ada helaian yang selama ini hanya tersimpan tidak berpakai. Inilah masa untuk anda padu-padankan apa yang ada.
Letakkan Sasaran
Bukanlah anda tidak boleh langsung membeli, namun biarlah berpada-pada. Apa kata anda simpan sebahagian gaji setiap bulan, dan anda belanjakan wang yang ada untuk membeli aksesori fesyen pada waktu
jualan murah berlangsung. Ia memberi kepuasan maksimum setelah sekian lama tidak membeli.