Kalau pagi anda selalu bermula dalam keadaan kelam-kabut, masa yang suntuk, perut berbunyi dan pilihan makanan pula terhad, overnight oats mungkin sarapan paling praktikal. Bukan sekadar cantik untuk gambar di Instagram, ia sebenarnya pilihan yang seimbang dari segi nutrisi dan cukup mengenyangkan untuk menyokong tenaga sepanjang hari. Minimal effort, maximum function!
Secara nutrisi, oats mengandungi serat larut yang membantu melambatkan penghadaman, sekali gus mengawal rasa lapar. Digabungkan pula dengan protein daripada yogurt dan lemak sihat daripada chia seed atau kekacang, ia memberi kombinasi nutrisi yang lebih seimbang. Selain itu, ia juga membantu mengelakkan rasa terlalu kenyang atau terlalu lapar secara mendadak. Sesuai untuk hari yang panjang.
Konsepnya ringkas dan hampir mustahil untuk gagal, hanya campur semua bahan, simpan dalam peti sejuk semalaman dan ia siap dinikmati keesokan hari. tidak perlu memasak dan tidak perlukan langkah yang rumit. Rasanya juga boleh diubah suai mengikut selera. EH! kongsikan resipi asas bersama beberapa variasi menarik yang boleh anda rotate sepanjang minggu. Mudah, sihat dan langsung tidak membosankan.
Bahan-bahan:
-
½ cawan rolled oats
-
½ cawan susu pilihan (low fat, almond, oat milk)
-
2 sudu besar Greek yogurt
-
1 sudu besar chia seed
-
1 sudu teh madu atau maple syrup
-
Sedikit buah segar (pisang, strawberi atau blueberry)
Cara penyediaan:
Campurkan semua bahan dalam balang kaca atau bekas bertutup. Kacau hingga sebati, tutup dan simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya empat jam atau semalaman. Keesokan paginya, tambah topping kegemaran dan ia sedia untuk dinikmati.
1. Coklat & Peanut Butter
Untuk yang sukakan rasa sedikit indulgent tetapi masih sihat, boleh tambah satu sudu besar serbuk koko tanpa gula dan satu sudu kecil peanut butter dalam resipi asas. Taburkan sedikit dark chocolate chips dan hirisan pisang sebelum makan. Rasa manisnya cukup untuk boost mood waktu pagi.

2. Kurma & Madu
Versi lebih klasik, anda boleh masukkan dua biji kurma yang dicincang halus dan sedikit serbuk kayu manis dalam campuran oats. Gunakan madu asli sebagai pemanis. Ia memberi rasa semula jadi yang lembut dan tenaga yang lebih konsisten sepanjang hari.

3. Mangga & kelapa
Jika mahu rasa tropika segar, boleh juga gantikan sebahagian susu dengan santan cair atau coconut milk. Tambah potongan mangga dan sedikit kelapa parut kering sebagai topping. Kombinasi ini light tetapi tetap mengenyangkan.

4. Mix Berries & Protein
Sesuai untuk anda yang aktif atau mahukan lebih protein. Tambahkan satu scoop protein powder vanila ke dalam campuran asas dan kacau hingga sebati. Tambah campuran beri seperti strawberi, blueberry atau raspberi segar dan sedikit almond untuk tekstur. Ia membantu rasa kenyang lebih lama dan mengekalkan tenaga lebih stabil.

Tip EH!
Gunakan balang kaca kecil supaya mudah grab-and-go. Jika tekstur terlalu pekat keesokan pagi, tambah sedikit susu sebelum makan. Dan jangan takut untuk bereksperimen dengan topping seperti tambah granola, kacang, labu atau sedikit dark chocolate untuk jadikan sarapan anda lebih seronok.
Artikel Berkaitan: EH!xperience: Lokasi Moreh Di Bulan Puasa 2026 [PART 2]
