Dalam 80 ke 90 minit menaiki kereta dari pusat Kuala Lumpur, jiwa lebih tenteram bersantai berteman air laut sambil menyaksikan matahari terbenam di Avani Sepang Goldcoast.
Di awal pembukaan dulu saya pernah diundang untuk menginap di sini, dan selepas lebih 10 tahun saya kembali ke sini, dan kali ini namanya sudah berubah, Avani Sepang Goldcoast. Persinggahan sebentar bulan lalu bermisi untuk melakukan penggambaran di persisir pantai. Biarpun seketika, namun tak salah untuk saya katakan ia pilihan terbaik jika warga kota yang mahu lari seketika dari kesibukan kota dan gantikan bunyi-bunyi bising kenderaan dengan bunyian ombak yang memecah hening sunyi pantai.
Avani Sepang Goldcoast letaknya di persisir pantai Sepang. Jaraknya 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Di sini tersedia 300 kamar dan vila yang diapungkan di atas laut. Biliknya luas, selesa, dan rasa cukup mendamaikan.
Saya dan teman produksi tiba sekitar jalan 4 petang, dan waktu itu air masih surut lagi. Dalam sedang leka bersiap untuk penggambaran, tanpa sedar air laut sudah naik, membuatkan pemandangan sekitar vila lebih menarik.
Di sini, sama seperti resort penginapan yang lain ia juga dilengkapi dengan gimnasium dan spa bagi anda yang mahu memanjakan diri. Lebih menarik, tersedia juga AVANIKIDS, sebuah kelab kanak-kanak yang menyedikan kelas yoga dan juga aktiviti air yang menarik.
Sajian makanan di sini juga cukup variasi dan pasti memenuhi selera pengunjung yang pelbagai. Dari sajian lokal hingga yang lebih bersifat global sedia terhidang. Tidak kiralah anda mahu bersantap dalam suasana santai mahupun yang lebih formal, Avani Sepang punya beberapa restoran yang boleh disesuaikan, kerana tidak semua yang datang ke sini untuk bercuti semata. Malah ada yang menjadikan destinasi ini sebagai lokasi majlis rasmi memandangkan Avani Sepang juga lengkap dengan ruang acara atau ballroom yang boleh memuatkan 1,200 tetamu, cukup sempurna untuk persidangan mahupun majlis perkahwinan.
Apa yang menarik perhatian, Avani juga prihatin akan pentingnya mengambil kira soal pemeliharaan persekitaran jadi mereka sendiri menubuhkan Environmental, Social, and Governance (ESG) iaitu satu inisiatif mereka dalam memelihara keindahan alam sekitar. Organisasi ini bertindak sebagai satu badan yang memastikan kesan pencermaran dapat diminimumkan, penjagaan paya bakau dan juga memberi keutamaan penggunaan bahan mesra alam agar semuanya kekal terpelihara. Mereka juga aktif menganjurkan aktiviti membersihkan pantai serta latihan kepada pelajar dalam menjaga kelestarian alam.
Klik AVANI HOTELS untuk maklumat lebih lanjut mahupun untuk membuat tempahan.
BACA: 5 Kafe Berkonsepkan “Glasshouse” Di Sekitar Lembah Klang