Kesibukan di tempat kerja kadang-kala membuatkan anda lupa meluangkan masa untuk diri sendiri. Jadi, jika ada peluang untuk pergi bercuti, jangan lepaskannya kerana pergi bercuti ini sebenarnya bawa banyak manfaat untuk diri anda.
EH! kongsikan lima sebab untuk anda pergi melancong.
Kurangkan rasa stres
Apabila bekerja terlalu lama, sudah tentu anda akan rasa penat dan stres. Salah satu cara berkesan untuk elakkan stres adalah dengan pergi bercuti. Pilih mana-mana lokasi menarik, tidak kiralah dalam atau luar negara dan tenangkan fikiran anda di sana. Pastinya anda akan rasa lebih segar dan bersemangat untuk kembali bekerja nanti.
Mencari pengalaman baru
Selain daripada menenangkan fikiran, anda juga boleh mencari pengalaman baru ketika bercuti. Mungkin sahaja pengalaman yang dipelajari ini dapat membantu dalam kehidupan dan kerjaya anda.
Badan lebih sihat
Menurut kajian yang telah dijalankan di salah satu universiti antarabangsa mendapati bahawa mereka yang kerap pergi bercuti mempunyai risiko mati awal 20 peratus lebih rendah berbanding mereka tidak pergi bercuti. Ini kerana mereka yang meluangkan masa untuk pergi bercuti punya keseimbangan dalam hidup berbanding daripada mereka yang hidup untuk kerja sahaja.
Lawat tempat baru
Bercuti adalah peluang yang ada untuk anda mempelajari dan melawat tempat baru. Ini dapat membantu untuk membuka minda tentang sejarah peradaban dunia dan belajar untuk menghargai setiap perkara yang disekeliling anda.
Jadi lebih kreatif
Apabila bercuti, anda akan dapat lihat betapa luasnya dunia dan pelbagai jenis ragam manusia dan melalui pengalaman dan pemerhatian di sekeliling, otak akan dapat berfikir dengan lebih aktif. Dengan itu, anda dapat berfikir untuk idea baru sama ada untuk bisnes, kerja dan sebagainya.